FOTO hiasan
FOTO hiasan
Junaidi Ladjana


SUAMI, 37, yang ‘cemburu buta’ bertindak menampar, memukul dan menumbuk muka isterinya selepas menuduh wanita itu menjalinkan hubungan sulit dengan lelaki lain.

Dalam kejadian 11.40 pagi semalam, mangsa, 41, sedang menaiki kereta yang dipandu suaminya dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Putatan.

Ketika dalam perjalanan, berlaku pertengkaran antara mangsa dengan suaminya selepas wanita itu dituduh membawa makanan dari rumah ke pejabat untuk diberi kepada lelaki lain.

Suami mangsa kemudian berang lalu menampar muka isterinya dan suspek turut merosakkan barang di dalam rumah mereka.

Malah, suspek terus memukul serta menumbuk muka mangsa kerana tidak berpuas hati dengan tindakan isterinya. Susulan kejadian itu, mangsa membuat laporan polis.

Ketua Polis Daerah Penampang Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata, berdasarkan laporan itu, suspek ditahan pada 5.50 petang semalam untuk siasatan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 18A Akta Keganasan Rumah Tangga 1994.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Mac 2018 @ 4:13 PM