ANTARA suspek dan penagih dadah ditahan polis di Felda Palong, Negeri Sembilan. FOTO oleh Abnor Hamizam Abd Manap.
ANTARA suspek dan penagih dadah ditahan polis di Felda Palong, Negeri Sembilan. FOTO oleh Abnor Hamizam Abd Manap.

Abnor Hamizam Abd Manap

[email protected]

SEORANG tokan dan tujuh penagih ditahan polis dalam serbuan Op Sarang yang dijalankan di sebuah ladang sawit di FELDA Palong, Negeri Sembilan, semalam.

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Muhd Nur Hishamuddin Hashim berkata, serbuan dijalankan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik selepas menerima maklumat orang awam dan risikan.

Katanya, ketika operasi jam 4.05 petang itu, polis melihat seorang lelaki berusia 37 tahun dipercayai pengedar dadah dalam keadaan mencurigakan di kawasan ladang itu.

“Polis menghampiri lelaki itu sebelum suspek bertindak melarikan diri sebaik menyedari kehadiran polis. Anggota polis kemudian mengejarnya dan berjaya menahan suspek selepas berlaku pergelutan.

“Pemeriksaan menemui tiga paket plastik dadah jenis heroin dianggarkan seberat 57.98 gram dan satu paket dadah jenis syabu seberat 3.44 gram yang diletak dalam bekas dibawa suspek,” katanya.

Muhd Nur Hishamuddin berkata, siasatan mendapati suspek yang juga penduduk tempatan pernah menjalani hukuman buang daerah sebelum ini.

Katanya, suspek dipercayai mendapatkan bekalan dadah itu dari negeri jiran sebelum menjualnya kepada penagih di tanah rancangan berkenaan.

“Berdasarkan maklumat suspek, polis kemudian menyerbu sarang penagihan di dalam ladang berkenaan dan menahan seramai tujuh penagih berusia 30-an hingga 50-an.

“Polis turut menemui heroin dianggarkan seberat 0.33 gram dan ganja seberat 3 gram. Kita menyita sebuah motosikal Yamaha 135 LC dan semua dadah yang dirampas dianggarkan bernilai RM3,000,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 39B, Seksyen 12 (3), Seksyen 6 dan Seksyen 15 (1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Mac 2019 @ 3:23 PM