ANTARA suspek ditahan dalam Op Sarang di Felda Pasoh 3. FOTO Abnor Hamizam Abd Manap.
ANTARA suspek ditahan dalam Op Sarang di Felda Pasoh 3. FOTO Abnor Hamizam Abd Manap.
Abnor Hamizam Abd Manap


PENGEDAR dadah antara sembilan ditahan dalam Op Sarang di port penagihan dadah dalam kawasan ladang kelapa sawit di FELDA Pasoh Tiga, Jempol, semalam.

Difahamkan pengedar berusia 40-an itu berjaya meloloskan diri ketika serbuan dilakukan pihak polis di lokasi berkenaan sebelum ini.

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Muhd Nur Hishamuddin Hashim berkata, suspek berkenaan bagaimanapun ditahan dalam Op Sarang bermula 12.30 tengah hari.

Beliau berkata, semakan mendapati suspek memiliki rekod lampau berkaitan dadah dan sudah beberapa kali menjalani hukuman penjara.

Katanya, selepas menjalankan risikan sepasukan pegawai dan anggota menyerbu lokasi berkenaan yang terletak lima kilometer dari sebuah kawasan penempatan.

“Ketika serbuan, suspek dipercayai sedang menunggu penagih mahu mendapatkan bekalan dadah.

“Menyedari kehadiran polis suspek cuba melarikan diri, namun kali ini dia berjaya diberkas,” katanya.

Muhd Nur Hishamuddin berkata, hasil pemeriksaan pihaknya merampas satu paket dan tiub penyedut minuman disyaki mengandungi dadah seberat 3.46 gram daripada suspek.

Menurutnya, dalam operasi sama pihaknya menahan lapan penagih berusia 29 hingga 50 tahun dan merampas heroin seberat 0.13 gram.

“Individu ditahan disiasat mengikut Seksyen 39A (1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 12(3) serta 15(1)(a) akta sama,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Mei 2019 @ 4:39 PM