Norizuan Shamsuddin


LARI bertempiaran meninggalkan gerai dan barang perniagaan. Malah, ada yang sanggup menggadaikan nyawa apabila didapati berlari melintas jalan secara melulu tanpa menghiraukan keadaan lalu lintas yang sesak.

Tindakan nekad itu dilakukan sekumpulan pendatang asing tanpa izin (PATI) bagi meloloskan diri apabila Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) melakukan serbuan di Pasar Borong Selayang, Kuala Lumpur dan Pasar Borong Meru, Klang, semalam.

Dalam serbuan bermula 6 hingga 10 pagi itu, seramai 47 pati dipercayai berniaga dan bekerja di pasar borong terbabit ditahan menerusi Op Bersepadu dilaksanakan JIM.

Selain itu, seramai 14 warga tempatan yang disyaki menggajikan warga asing tanpa permit turut ditahan bagi siasatan lanjut.

Menerusi operasi terbabit, lebih 94 pegawai dan anggota JIM Putrajaya bersama JIM Kuala Lumpur dikerahkan bagi menangkap pati yang disyaki berniaga dan bekerja di kawasan terbabit, selain mengambil tindakan kepada majikan yang menggajikan warga asing tanpa permit.

Malah, sebelum serbuan dilakukan sekumpulan pegawai dan anggota JIM turut menyamar sebagai pelanggan bagi mengenalpasti warga asing yang berniaga serta berniaga di kawasan berkenaan.

Bagaimanapun, selepas menyedari kawasan terbabit digempur oleh pihak berkuasa mereka bertindak bersembunyi di sebalik timbunan barangan dan kotak serta bertempiaran menyeberangi jalan raya di hadapan pasar borong berkenaan.

Malah, sewaktu disoal siasat ada antara warga asing terbabit enggan mengakui mereka bekerja di pasar borong berkenaan dan menyamar sebagai pelanggan yang berkunjung ke kawasan terbabit untuk membeli barangan basah.

Namun, hasil pemeriksaan mendapati warga asing terbabit tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah.

Ketua Pengarah JIM, Datuk Indera Khairul Dzaimee Daud berkata, menerusi operasi terbabit sebanyak 32 lot premis dan 169 warga asing diperiksa.

Katanya, pemeriksaan dilakukan mendapati 68 warga asing terbabit adalah pemegang Kad Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).

“Manakala seramai 47 individu adalah pati yang melakukan pelbagai kesalahan membabitkan 22 warga Myanmar, 16 warga Indonesia, empat warga Bangladesh dan lima India.

“Seramai 14 majikan turut ditahan kerana disyaki menggajikan warga asing tanpa permit.

“Semua suspek berusia 25 hingga 48 tahun terbabit di bawa ke depoh tahanan sementara bagi siasatan lanjut,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Indera Khairul berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan dan agensi berkuasa yang lain termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dalam menyelesaikan masalah pati di negara ini.

“Tindakan mengesan majikan dan pemilik lot-lot pasar borong selebihnya akan dibuat dengan kerjasama Pihak PBT.

“Berhubung dengan isu warga tempatan yang menyewakan premis atau lot-lot pasar borong kepada warga asing, JIM menyokong penuh tindakan pihak PBT untuk membatalkan lesen yang diberikan kepada mereka.

“Ini antara tindakan yang perlu bagi menangani lambakan PATI yang bekerja dan juga menjalankan perniagaan di pasar borong.

“Tindakan tegas ini juga dilihat antara usaha yang perlu diambil ke atas segelintir majikan warga tempatan yang tidak menyokong sepenuhnya usaha untuk membanteras PATI malahan menggaji, melindungi dan mengeksploitasi warga asing,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Mac 2019 @ 5:46 PM
PATI dan majikan yang menggajikan warga asing di tahan. FOTO Ihsan JIM
PATI dan majikan yang menggajikan warga asing di tahan. FOTO Ihsan JIM