DUA lelaki Bangladesh ditahan sepasukan pegawai dan anggota imigresen ketika Op Bersepadu (Sapu & Selera. FOTO Ihsan JIM.
DUA lelaki Bangladesh ditahan sepasukan pegawai dan anggota imigresen ketika Op Bersepadu (Sapu & Selera. FOTO Ihsan JIM.
Siti Rohana Idris


PASPORT berada dalam simpanan majikan untuk pembaharuan, antara alasan yang kerap diberikan Pendatang Asing Tanpa Izin (Pati) bagi mengelak dicekup pihak berkuasa.

Bagaimanapun, alasan itu gagal memperdaya anggota Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) yang menahan dua lelaki Bangladesh di Jalan Hamzah, Kota Bharu, semalam.

Kedua-duanya bekerja di premis menjual perabot di sebuah pasar raya di situ.

Pengarah JIM Kelantan Azhar Abdul Hamid berkata, jika alasan sebegitu diberikan bermakna pasport warga asing itu sememangnya tiada atau hilang.

“Ketika pasukan membuat tangkapan malam tadi (semalam), dua lelaki Bangladesh berusia 32 dan 36 tahun itu memberi alasan berkenaan dan kita menahannya untuk siasatan lanjut,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, kedua-duanya dipercayai sudah bekerja di negara ini hampir setahun dan tangkapan itu sempena Op Bersepadu (Sapu & Selera) yang berakhir 11.50 malam.

Dalam operasi itu 26 warga asing diperiksa membabitkan empat lokasi sekitar Kota Bharu, namun 18 orang ditahan termasuk 13 warganegara Thailand yang bekerja di restoran.

Katanya, kesalahan dilakukan tiada permit sah, tinggal lebih masa dan gagal patuh syarat permit.

“Semua yang ditahan berusia 19 hingga 45 tahun disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 15(1)(c) akta yang sama serta Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963,” katanya.

Tahanan itu dihantar ke Depot Imigresen Tanah Merah untuk tindakan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Februari 2020 @ 6:02 PM