ANGGOTA bomba memberi minuman kepada anak anjing yang ditemui. FOTO Ihsan Bomba
ANGGOTA bomba memberi minuman kepada anak anjing yang ditemui. FOTO Ihsan Bomba
Nor Farhani Che Ad


BUNYI salakan kecil di kawasan belukar dekat Padang Serai, Kulim membawa kepada penemuan lima anak anjing, termasuk seekor yang melecur di kaki.

Ia ditemui sepasukan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kulim Hi Tech, yang terbabit operasi memadam kebakaran di kawasan itu, semalam sebelum usaha penyelamatan dilakukan.

Kisah itu dikongsi di Facebook (FB) dan mendapat perhatian netizen yang memuji keprihatinan anggota bomba berkenaan.

Komander operasi, Penolong Penguasa Bomba (PPgB) Mohamad Yazan Yahaya berkata, pasukannya menemui anak anjing tanpa ibu itu berkeliaran di belukar berkeluasan dua hektar yang sedang terbakar.

“Sebelum itu kami menerima panggilan pada 3.38 petang memaklumkan kebakaran belukar itu dan enam anggota bersama sebuah jentera ke lokasi.

“Ketika usaha pemadaman dilakukan, anggota mendengar bunyi salakan anak anjing sekitar 4.30 petang dan mencari arah bunyi itu, sebelum menemui empat ekor di sebalik lalang, tengah belukar.

“Anggota kemudian mengeluarkan anak anjing itu ke kawasan selamat memandangkan lokasi itu semakin marak dan dipenuhi asap tebal,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohamad Yazan berkata, ketika operasi pemadaman diteruskan, seekor lagi anak anjing ditemui, namun ia melecur di kaki akibat terpijak bara api.

Katanya, anak anjing itu turut diselamatkan dan dibawa ke jentera bomba.

Menurutnya, kelima-lima anak anjing diberi minuman dan dimandikan sebelum diserahkan kepada seorang peniaga kedai runcit di kawasan berhampiran yang menawarkan diri memelihara anak anjing itu.

“Kami lega kerana ada lelaki berusia sekitar 30-an menawarkan diri untuk memelihara lima anak anjing itu,” katanya.

Dalam pada itu, Mohamad Yazan berkata, operasi memadam kebakaran turut dibantu Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Lunas dan operasi tamat jam 7.46 malam.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Februari 2019 @ 7:56 PM