Mohd Redzuan. FOTO ihsan PDRM
Mohd Redzuan. FOTO ihsan PDRM
Izad Thaqif Hassan


Kulim: Nak elak denda punya pasal, sanggup buat laporan polis palsu. Itu dilakukan seorang lelaki berusia 20-an yang mendakwa dia menjadi mangsa ragut ketika berada di hadapan sebuah premis di Taman Keranji, di sini, Khamis lalu.

Bagaimanapun, tindakannya itu menjerat diri sendiri apabila siasatan polis mendapati dia sebenarnya membuat laporan palsu kerana mahu mengelak daripada didenda kerana kehilangan kad pengenalan.

Akibatnya, lelaki terbabit dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini dan didakwa mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan kerana membuat laporan palsu.

Bagaimanapun, lelaki berkenaan mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan sebelum membayar wang jaminan berjumlah RM1,000 dan mahkamah menetapkan 5 September sebagai tarikh sebutan semula kes.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Mohd Redzuan Salleh berkata, lelaki berkenaan membuat laporan polis Jumaat lalu mendakwa dia diragut jam 9 malam Khamis lalu ketika sedang mahu menaiki kenderaan pemandu e-hailing.

"Dalam laporannya, lelaki terbabit mengatakan dia kehilangan beberapa dokumen peribadi dan wang tunai berjumlah RM200.

"Bagaimanapun, hasil siasatan lanjut mendapati lelaki berkenaan sengaja mereka cerita dan membuat laporan polis palsu kerana mahu mengelak didenda untuk mendapatkan kembali kad pengenalannya," katanya dalam satu kenyataan.

Mohd Redzuan menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat laporan palsu untuk mengelak daripada ditahan yang sekali gus membawa kepada siasatan mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 April 2022 @ 8:36 PM