Azura Abas; Mohd Husni Mohd Noor; Irwan Shafrizan Ismail dan Hashini Kavishtri Kannan


SKIM Perlindungan Nasional B40 atau Skim mySalam dilancarkan secara rasminya oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, pagi ini.

Skim berkenaan akan memberi manfaat kepada kira-kira 3.69 juta penerima terdiri daripada isi rumah kumpulan pendapatan bulanan 40 peratus terendah (B40) yang juga penerima Bantuan Sara Hidup Rakyat 2019 (BSHR).

Dr Mahathir dalam ucapan perasmiannya berkata, Kerajaan Persekutuan berhasrat untuk membantu golongan B40 menangani kesulitan kewangan yang timbul akibat kemasukan ke wad hospital kerajaan atau ditimpa salah satu daripada 36 penyakit kritikal yang tidak diduga.

"Kerajaan menjangkakan seramai 3.69 juta rakyat yang berumur 18 sehingga 55 tahun akan layak untuk menerima manfaat skim insurans berkenaan," katanya.

Katanya, skim ini juga bertujuan untuk meningkatkan kesedaran dan pemahaman di kalangan B40 mengenai perlindungan insurans dan takaful.

Dr Mahathir berkata, kerajaan berharap skim ini juga berupaya membina kepercayaan terhadap insurans dan perlindungan takaful hasil dari perkhidmatan.

Menurutnya, walaupun beban kewangan yang diwarisi adalah besar dan berat, namun ia tidak akan menjadi halangan untuk kerajaan memperkenalkan program-program mesra rakyat seperti Skim mySalam.

"Walaupun kelihatan berdikit dan agak hati-hati di dalam melaksanakan program-program ini, kerajaan akan memastikan usaha tersebut mencapai golongan sasaran dan mereka yang memerlukan akan menerimanya.

"Dan kita akan berusaha sedaya upaya untuk menjana dana untuk meringankan beban rakyat

jelata dan untuk mencapai matlamat itu, kita turut mengambil langkah-langkah inovatif dan

alternatif.

"Dan usaha ini telah kami telah mula membuahkan hasil dan Skim mySalam ini membuktikan langkah-langkah inovatif dan alternatif tersebut mampu membantu mencapai matlamat untuk membantu rakyat," kata beliau.

Katanya, skim mySalam itu diperkenalkan dengan sumbangan permulaan yang besar iaitu sebanyak RM2 bilion daripada syarikat insurans dan takaful Great Eastern.

Dalam pada itu, beliau percaya skim itu akan berjaya menarik dan menambahkan sumbangan kepada Tabung mySalam ini daripada Great Eastern dan oleh semua penanggung insurans dan pengendali

takaful di Malaysia.

"Saya juga berharap syarikat insurans swasta yang lain dapat berganding bahu untuk

memperluaskan jangkauan pemilikan polisi insurans dan takaful rakyat Malaysia," kata beliau.

Menerusi skim itu, penerima yang layak akan mendapat perlindungan kesihatan secara percuma untuk 36 jenis penyakit kritikal merangkumi kanser, serangan jantung dan penyakit alzheimer.

Penerima juga layak mendapat bayaran one-off sebanyak RM8,000 jika dikenal pasti menghidapi salah satu daripada penyakit kritikal berkenaan.

Skim itu juga memberi bayaran harian sebanyak RM50 sebagai pendapatan gantian jika penerima menjalani rawatan di mana-mana hospital kerajaan untuk tempoh maksimum 14 hari setiap tahun atau bersamaan dengan RM700 setahun.

Skim berkenaan sudah pun bermula pasa 1 Januari lalu dan penerima yang layak boleh membuat tuntutan mulai 1 Mac depan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 January 2019 @ 10:04 AM
Dr Mahathir menyaksikan penyerahan cek tabung amanah mySalam kepada Menteri Kewangan Lim Guan Eng daripada Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Great Eastern Holdings Berhad, Khor Hock Seng (dua dari kanan). Turut hadir Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor
Dr Mahathir menyaksikan penyerahan cek tabung amanah mySalam kepada Menteri Kewangan Lim Guan Eng daripada Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Great Eastern Holdings Berhad, Khor Hock Seng (dua dari kanan). Turut hadir Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor