Oleh Sri Ayu Kartika Amri


KUALA LUMPUR: Inisiatif Skim Perlindungan Nasional B40 atau mySalam yang diperkenalkan oleh kerajaan dilihat masih tidak mencukupi untuk memperluas jangkauan pemilikan polisi insurans dan takaful rakyat Malaysia terutama bagi kumpulan pendapatan bulanan 40 peratus terendah (B40).

Rakan Kongsi Dr Schanz, Alms & Company, Henner Alms berkata, berdasarkan kajian penyelidikan yang dijalankan, permintaan bagi mySalam adalah tinggi malah, skim itu memberi perlindungan kesihatan secara percuma untuk 36 jenis penyakit kritikal.

“Bagaimanapun, ia masih tidak dapat membantu secara menyeluruh dalam meningkatkan kadar penembusan insurans di negara ini lebih-lebih lagi untuk segmen B40.

“Kebanyakan pakar industri berpendapat kerajaan harus mempertimbangkan pelepasan modal bagi syarikat insurans terbabit dengan insurans B40,” katanya kepada media selepas pelancaran laporan Malaysian Insurance Highlights (MIH) 2019 oleh Malaysian Reinsurance Bhd (Malaysian Re) di sini, semalam.

Hadir sama, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Re, Zainudin Ishak dan Pengerusi Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM), Antony Lee Fook Weng.

Alms berkata, pihaknya bersetuju kadar penembusan di bawah segmen pendapatan rendah adalah cabaran utama bagi setiap masyarakat kerana mereka lebih terdedah kepada bencana dan berdepan dengan kekurangan perlindungan.

Menurutnya, bagaimanapun kadar penembusan insurans am dicatatkan sekitar 50 peratus di negara ini dilihat lebih baik kerana melepasi purata yang dicatatkan dalam kalangan negara Asean lain.

Sementara itu, Zainudin berkata, pemain dan pemegang saham perlu mencari penyelesaian dalam industri insurans yang dihadapi pada masa ini.

“Kami berharap MIH 2019 menjadi rujukan utama untuk pembuat polisi dan pemain industri profesional,” katanya.

MIH adalah penerbitan yang menampilkan analisis membabitkan pasaran takaful dan insurans di negara ini melalui temuramah yang dijalankan ke atas 30 eksekutif dan profesional kanan industri di Malaysia.

Laporan berkenaan antara lain menyebut kebanyakan responden percaya meskipun pelbagai langkah dilaksanakan kerajaan, insurans untuk B40 akan terus kekurangan daya tarikan dari segi peruntukkan komersial dan lebih dianggap sebagai program tanggungjawab sosial korporat (CSR).

Justeru, pakar industri mencadangkan kerajaan perlu perluaskan pendekatan program insurans untuk golongan B40 bagi memastikan ia lebih memenuhi keperluan perlindungan golongan berkenaan dan meningkatkan kadar penembusan insurans di negara ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Disember 2019 @ 12:26 PM