FOTO Hiasan
FOTO Hiasan
Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor


PEGAWAI polis Bukit Aman dan seorang peniaga burger mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Seremban, hari ini atas dakwaan melakukan gaduh gempar di Taman Rasah Jaya, pada 9 Januari lalu.

Tertuduh, Inspektor Rashi Akhbar Abdul Rashid, 37, dan Muhammad Firdaus Mohd Anuar, 31, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Mahyun Yusof sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah terhadap mereka.

Mengikut kertas pertuduhan, mereka didakwa bersama-sama melakukan gaduh gempar di hadapan rumah kedai bernombor 3687, Jalan RJ Utama 2, Taman Rasah Jaya, pada 1.30 pagi 9 Januari lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 160 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara sehingga enam bulan atau denda sehingga RM1,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pada prosiding pendakwaan itu, tiada jaminan dikenakan terhadap kedua-dua tertuduh berikutan prosiding membabitkan saman jenayah.

Mahyun menetapkan sebutan semula kes pada 15 Februari ini bagi penyerahan dokumen.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Akmal Mohamad Azli manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Portal berita Harian Metro pada Ahad lalu melaporkan polis menerima dua laporan berhubung pergaduhan antara pegawai polis dan peniaga di sebuah gerai burger di Taman Rasah Jaya, Seremban dan video kejadian itu tular di Facebook.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Noor Azam Jamaludin berkata, laporan itu dibuat pegawai polis dan peniaga terbabit, pada 9 Januari lalu.

“Dalam kejadian 1.30 pagi itu, peniaga terbabit didatangi dua lelaki yang memperkenalkan diri sebagai polis dan memintanya menunjukkan kad pengenalan tetapi tidak diberikan dengan alasan tidak menunjukkan kad kuasa.

“Berikutan itu, berlaku pertengkaran antara mereka. Berdasarkan siasatan awal polis, ia disebabkan oleh salah faham antara kedua-dua pihak,” katanya.

Berita berkaitan

'Dua laporan polis diterima'

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 January 2019 @ 3:13 PM