TUNKU Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dimasyhurkan sebagai Tengku Ampuan Pahang. FOTO Ihsan Istana AbdulAziz
TUNKU Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dimasyhurkan sebagai Tengku Ampuan Pahang. FOTO Ihsan Istana AbdulAziz
Amin Ridzuan Ishak


TENGKU Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dimasyhurkan sebagai Tengku Ampuan Pahang pada istiadat khas di Istana Abu Bakar, di sini, Selasa ini (29 Januari).

Pemasyhuran itu dilakukan selepas mendapat perkenan Sultan Pahang VI, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah.

Al-Sultan Abdullah turut berkenan melantik putera sulungnya, Tengku Panglima Besar, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah sebagai Tengku Mahkota Pahang.

“Hari ini (semalam) saya memaklumkan kepada Jumaah Pangkuan Diraja Negeri Pahang mengenai persetujuan melantik Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah sebagai Tengku Ampuan Pahang.

“Saya juga memaklumkan persetujuan saya melantik putera sulung saya, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah sebagai Tengku Mahkota Pahang.

“Tengku Hassanal kembali ke tanah air pada 28 Januari ini (Isnin) untuk mengikuti istiadat pemasyhuran dan kembali mengikuti pengajian di Akademi Ketenteraan Diraja di Sandhurst, United Kingdom (UK),” titah baginda selepas mempengerusikan Jumaah Pangkuan Diraja Negeri Pahang, di sini, semalam.

Al-Sultan Abdullah bertitah gelaran Tengku Ampuan Pahang dan Tengku Mahkota Pahang itu seelok-eloknya digunakan selepas istiadat pemasyhuran diadakan nanti.

Mengenai jawatan Tengku Panglima Besar disandang Tengku Hassanal sebelum ini, Al-Sultan Abdullah bertitah, jawatan itu dikosongkan sementara dan baginda mengenal pasti calon sesuai.

Al-Sultan Abdullah juga berharap semua kerabat raja terutama Tengku Hassanal menunjukkan perwatakan baik dan menjadi pemimpin kepada rakyat negeri ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 January 2019 @ 11:45 AM