TENGKU Abdul Rahman diiringi Tengku Temengong Pahang, Tengku Fahd Mua'adzam Sultan Ahmad Shah (belakang Kiri) dan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail (kanan) berjalan masuk menuju ke bilik sidang media khas. FOTO Muhd Asyraf Sawal
TENGKU Abdul Rahman diiringi Tengku Temengong Pahang, Tengku Fahd Mua'adzam Sultan Ahmad Shah (belakang Kiri) dan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail (kanan) berjalan masuk menuju ke bilik sidang media khas. FOTO Muhd Asyraf Sawal
Abdul Razak Raaff dan Amin Ridzuan Ishak


“MOHON doakan yang terbaik untuk ayahanda (Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah) dan kalau boleh harap ayahanda boleh bersama pada istiadat pemasyhuran (Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah sebagai Sultan Pahang VI pada Selasa depan),” titah Tengku Muda Pahang, Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah.

Tengku Abdul Rahman bertitah, baginda tidak ingin mengulas lanjut mengenai keadaan ayahnya yang sedang gering, sebaliknya mahu memfokuskan kepada urusan istiadat pemasyhuran Tengku Abdullah sebagai Sultan Pahang menggantikan Sultan Ahmad Shah.

“Ayahanda gering dan kalau boleh saya tidak mahu bincang mengenainya di sini... lebih baik fokus urusan pemasyhuran.

“Kita mohon rakyat Pahang keseluruhannya mendoakan kesejahteraan paduka ayahanda,” titahnya pada sidang media khas di Istana Abu Bakar di Pekan, hari ini.

Tengku Abdul Rahman bertitah, Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah sedang menerima rawatan intensif di Institut Jantung Negara (IJN).

“Kami sekeluarga juga berterima kasih kepada pakar perubatan yang berkhidmat dan menjaga Paduka Ayahanda dengan cemerlang,” katanya.

Majlis Jumaah Pangkuan Diraja Negeri Pahang membuat keputusan untuk melantik Tengku Abdullah sebagai Sultan Pahang yang baharu berikutan keadaan kesihatan Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah yang gering.

Mesyuarat majlis itu semalam bersetuju dan meluluskan pindaan Bahagian 1 Perkara 9A Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Pahang untuk memberi kuasa kepada ahli majlis jumaah untuk menurunkan takhta raja disebabkan kegeringan yang besar dan berat.

Pindaan dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Pahang ini hanya membabitkan Majlis Jumaah Pangkuan Diraja Negeri Pahang dan tidak perlu dibawa ke Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN).

Berita berkaitan

Biodata Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah

''Tengku Abdullah Sultan Pahang Keenam [METROTV]'

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 January 2019 @ 6:30 PM