Klip video yang tular menunjukkan seorang lelaki menuang susu coklat yang sudah rosak.
Klip video yang tular menunjukkan seorang lelaki menuang susu coklat yang sudah rosak.
Ooi Tee Ching


DUTCH Lady Milk Industries Bhd (DLMI) tidak menemui masalah dengan produknya berdasarkan sampel ujian produk susu berperisa coklat Purefarm 1 liter.

Klip video pendek yang menjadi tular melalui WhatsApp, baru-baru ini menunjukkan seorang lelaki membuka sekotak susu coklat satu liter dan mengosongkan kandungannya yang sudah rosak ke dalam sebuah mangkuk bersebelahan sinki.

Dalam klip video berdurasi 1.06 minit itu, pengguna terbabit membeli susu coklat itu dua bulan lalu dan beliau menyatakan tarikh luput pada kotak susu itu adalah pada Julai 2019 namun kandungannya sudah sedia rosak.

Pengarah Pemasaran Tenusu Pengguna DLMI, Ramjeet Kaur Virik berkata, pihaknya menyedari aduan pengguna pada 15 Januari lalu berkaitan satu kotak susu yang memiliki kandungan cecair dan berketul-ketul.

Menurutnya, syarikat itu terus menghubungi pengguna terbabit, mengenal pasti produk terjejas dan menjalankan ujian yang diperlukan pada susu yang memiliki kod kumpulan sama.

"Keputusan ujian menunjukkan tiada masalah berkaitan kualiti susu berkenaan. Setakat ini, kami percaya bahawa ini adalah kes terpencil dan kami menjalankan siasatan lanjut untuk mengenal pasti punca utama perkara ini," katanya kepada NST hari ini.

Beliau menegaskan DLMI menjaga standard kualiti dengan serius dan syarikat itu memberi jaminan bahawa kesihatan dan kesejahteraan pelanggan sentiasa menjadi keutamaan mereka.

"Kami akan terus menerapkan kawalan mutu dan keselamatan paling ketat di seluruh rantaian pembuatan dan bekalan kami bagi memastikan produk kami kekal pada tahap kualiti dan kebersihan tertinggi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 January 2019 @ 8:55 PM