RAMJEET Kaur. FOTO Halimaton Saadiah Sulaiman
RAMJEET Kaur. FOTO Halimaton Saadiah Sulaiman
Ooi Tee Ching

Kuala Lumpur: Dutch Lady Milk Industries Bhd mengukuhkan peranannya sebagai pembekal susu kepada isi rumah di negara ini dengan meneroka pasaran hotel, restoran dan katering (HoReCa).

Pengarah Pemasaran Pengguna Tenusu Dutch Lady Malaysia Ramjeet Kaur Virik berkata, Dutch Lady PureFarm ketika ini adalah jenama nombor satu dalam segmen produk sedia diminum dengan penguasaan pasaran melebihi 50 peratus.

“Masih banyak ruang bagi pertumbuhan untuk segmen ini dan kami melihat banyak produk tenusu dengan nilai tambah dalam pasaran HoReCa ini.

“Banyak pelajar kolej dan golongan dewasa bekerja lebih banyak mengambil minuman seperti latte, cappuccino dan mocha yang kebanyakannya menggunakan jumlah susu yang banyak,” katanya.

Ramjeet berkata, apabila restoran dan kafe memperluaskan rangkaian perkhidmatan mereka, pihaknya melihat ia sebagai ruang bagi pertumbuhan dalam penggunaan susu.

Beliau menekankan dalam kaji selidik Kantar Worldpanel pada November 2018 yang menunjukkan penggunaan susu perkapita di Malaysia hanya berjumlah 12 liter iaitu kurang daripada kadar purata global.

“Kaji Selidik Nutrisi Dewasa Malaysia 2014 mendedahkan golongan dewasa hanya mengambil setengah gelas susu setiap minggu apabila Garis Panduan Pemakanan Malaysia mengesyorkan dua hingga tiga gelas sehari,” katanya.

Dengan kebimbangan yang semakin meningkat terhadap penyakit tidak berjangkit di dunia seperti obesiti, diabetes, hipertensi dan kanser, ia penting untuk meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai pentingnya mendapat nutrisi yang tepat.

Ramjeet berkata, susu sepatutnya menjadi sebahagian diet rakyat Malaysia yang sihat dan seimbang bagi membantu membina dan mengekalkan tulang dan gigi yang sihat.

Susu mengandungi protein, kalsium, iodin, vitamin B2 dan B12, fosforus dan potasium.

Sejak 2015, Dutch Lady Malaysia mengadakan aktiviti pendidikan di sekolah bagi mendidik mengenai kepentingan diet seimbang dan ia termasuk susu dan melakukan aktiviti sukan setiap hari.

“Kami menyasarkan untuk memperkenalkan gaya hidup sihat kepada rakyat negara ini sejak usia muda lagi dan memberi pendedahan mengenai obesiti dan malnutrisi.

“Ketika ini kami membekalkan susu kepada lebih 1,500 kantin sekolah seluruh Malaysia serta guru dan ibu bapa turut melihat manfaat susu apabila dibandingkan dengan minuman bergula dan berkarbonat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 January 2019 @ 11:01 AM