DR Ronald (tiga dari  kanan) bersama Gupta (empat dari kiri).
DR Ronald (tiga dari kanan) bersama Gupta (empat dari kiri).
Oleh Sri Ayu Kartika Amri


DUTCH Lady Milk Industries Berhad (DLMI) komited membantu kerajaan meningkatkan industri tenusu negara terutama dalam mencapai 100 peratus tahap sara diri (SSL) dalam pengeluaran susu segar tempatan menjelang 2025.

Pengarah Urusan DLMI, Tarang Gupta berkata, pihaknya turut memeterai memorandum kerjasama (MoC) dengan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) sebagai usaha meningkatkan lagi bekalan susu segar tempatan yang berkualiti di negara ini.

Katanya, pada masa ini SSL susu negara adalah pada tahap 62 peratus.

"Sebagai pembeli susu segar tempatan terbanyak daripada pusat pengumpulan susu DVS di Malaysia, DLMI komited untuk membantu penternak tenusu tempatan meningkatkan hasil dan kualiti susu mereka termasuk mengembangkan sumber pendapatan vendor kami.

"Malah, peluang untuk bekerjasama dengan DVS, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (Mafi) serta Kedutaan Belanda ini dapat membantu penternak yang berpotensi dari kedua-dua negara berkongsi pengetahuan dan kepakaran masing-masing," katanya pada sidang media sempena MoC antara DLMI bersama DVS di sini, semalam.

Hadir sama, Menteri Mafi, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee; Timbalan Ketua Perwakilan Kedutaan Belanda ke Malaysia, Eva Oskam dan Ketua Pengarah DVS, Datuk Dr Norlizan Mohd Noor.

Sementara itu, Dr Ronald berkata, MoC ini berbentuk jalinan kerjasama berasaskan konsep public-private partnership yang seharusnya disokong, diteruskan malah wajar dijadikan model untuk dicontohi pemain industri lain.

"Kejayaan peningkatan pengeluaran susu segar daripada 27 juta liter pada 2010 kepada hampir 42 juta liter pada 2020, di bawah Rancangan Malaysia Ke-10 dan Rancangan Malaysia Ke-11, dijadikan landasan terbaik untuk kerajaan terus meningkatkan pengeluaran susu segar dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) iaitu antaranya menerusi pembangunan beberapa lembah tenusu.

"Justeru, memorandum kerjasama ini tepat pada masanya dan diharapkan agar dapat memacu pelaksanaan program yang sudah dirancang kerajaan dan pihak swasta demi kelestarian industri tenusu negara.

"Perkembangan positif industri tenusu ini bukan sahaja dirasai Mafi, malah industri ini turut mendapat perhatian Kementerian Pendidikan Malaysia menerusi program Rancangan Makanan Tambahan (RMT) bermula Jun 2019.

"Melalui program ini, produk susu yang diperbuat daripada 100 peratus susu tempatan dibekalkan kepada pelajar sekolah rendah yang terpilih.

"Situasi ini secara tidak langsung akan merangsang lagi pembangunan industri tenusu negara ke suatu fasa kejayaan yang lebih meyakinkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 April 2021 @ 7:05 AM