GAJAH liar yang memusnahkan tanaman penduduk diiringi gajah denak, Rambai dan Abot untuk dipindahkan ke habitat yang lebih selamat, semalam.
GAJAH liar yang memusnahkan tanaman penduduk diiringi gajah denak, Rambai dan Abot untuk dipindahkan ke habitat yang lebih selamat, semalam.

Jeli: Empat jam diperlukan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Kelantan untuk memindahkan seekor gajar liar seberat dua tan yang ditangkap di Kampung Kuala Long, di sini, Rabu lalu, ke habitat yang lebih selamat di Taman Negara, Terengganu.

Operasi pemindahan gajah jantan berusia antara 25 dan 30 tahun itu, semalam, bermula dari jam 8 pagi hingga 12 tengah hari.

Pengarah PERHILITAN Kelantan Mohammad Khairi Ahmad berkata, seramai 19 anggota termasuk dari Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah, Pahang terbabit dalam operasi pemindahan berkenaan.

“Operasi turut dibantu dua gajah denak betina iaitu Abot dan Rambai. Gajah berkenaan didapati dalam keadaan sihat dan tiada sebarang kecederaan,” katanya.

Mohammad Khairi berkata, gajah liar itu dipercayai berasal daripada populasi gajah yang mendiami kawasan Gunung Baso di Banjaran Titiwangsa.

Katanya, haiwan berkenaan sering mendatangkan konflik dengan memasuki beberapa kampung di sekitar Jeli dan memusnahkan tanaman penduduk.

“Bagaimanapun kita menasihatkan penduduk tidak bertindak sendirian jika berdepan gajah, sebaliknya melaporkan kepada PERHILITAN bagi kerja menghalau dan menangkap haiwan terbabit,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Oktober 2016 @ 6:50 AM