Ahmad Faizal (tiga kiri) merenjis pesawat ringan Piper 34 Seneca pada Majlis Pembukaan Rasmi Layang Layang Flying Academy di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah Ipoh. FOTO Abdullah Yusof
Ahmad Faizal (tiga kiri) merenjis pesawat ringan Piper 34 Seneca pada Majlis Pembukaan Rasmi Layang Layang Flying Academy di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah Ipoh. FOTO Abdullah Yusof
Shaarani Ismail


ORANG ramai diminta supaya menghormati dan mempertahankan institusi beraja serta tidak mempersoalkan perkara yang tidak sepatutnya termasuk hal pelantikan Yang di-Pertuan Agong.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, hak untuk memilih dan melantik Yang di-Pertuan Agong adalah di bawah bidang kuasa Majlis Raja-Raja dan tidak boleh dipersoalkan.

“Hak untuk memilih Yang di-Pertuan Agong terletak pada kuasa Majlis Raja-Raja, sesiapa sahaja perlu menghormati ketetapan yang sudah pun dibuat sekian lama yang pada setiap lima tahun Yang di-Pertuan Agong dipilih dalam kalangan sembilan Raja-Raja Melayu.

“Kita letak noktah di situ, tak perlulah sebut tentang perkara lain, saya harap institusi beraja perlu dipertahankan dan dijaga baik, jangan sekali-kali mengeluarkan kenyataan yang boleh merosakkan imej institusi beraja,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan pembukaan Akademi Penerbangan Layang Layang (LLFA) di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS) di Ipoh hari ini.

Yang hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan dan Pembangunan Koridor negeri, Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin dan Pengerusi LFFA, Datuk Seri Azharuddin Abdul Rahman.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika diminta mengulas laporan sebuah portal berita yang mempertikaikan kredibiliti Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dalam isu pelantikan Yang di-Pertuan Agong selepas Sultan Muhammad V, melepaskan jawatan itu secara rasmi semalam.

Ahmad Faizal berkata, sebagai rakyat negeri Perak, Sultan Nazrin cukup dikenali sebagai seorang Raja berjiwa rakyat serta sentiasa menitiberatkan kepentingan rakyat serta sentiasa memberikan nasihat Baginda kepada kerajaan negeri untuk kebaikan dan kepentingan negeri.

Katanya, Baginda juga sangat bekerjasama dengan kerajaan negeri dan barisan EXCO yang ada dan semua pihak mahu perkara itu berterusan dan kekal untuk kepentingan rakyat Perak.

Sementara itu, mengulas LLFA yang kini memulakan operasinya di LTSAS, Ahmad Faizal berkata, diharapkan akademi itu akan dapat membantu Perak merancakkan lagi industri penerbangan sedia ada.

Katanya, usahasama itu sangat disambut baik kerajaan negeri yang pada masa sama dapat membantu usaha memajukan lagi LTSAS dan Ipoh menjadi destinasi utama sektor berkaitan penerbangan dalam negara.

Seramai 22 pelatih mendaftar untuk mengikuti latihan penerbangan di akademi berkenaan yang turut mendapat kerjasama dengan syarikat penerbangan Malindo Airways melalui perjanjian kerjasama untuk diambil bekerja dengan syarikat penerbangan berkenaan sebaik tamat latihan penerbangan dan mendapat lesen penerbangan masing-masing.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 January 2019 @ 7:23 PM