Mohd Anwar Patho Rohman


ARMADA Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) menegaskan yang parti itu bukan jelmaan UMNO dan jangan sekali-kali menjadi seperti parti Melayu terbesar itu.

Ketua ARMADA, Syed Saddiq Abdul Rahman berkata, BERSATU tidak boleh menjadi UMNO yang diketahui mengamalkan sogok menyogok dalam politik.

“Ramai kata BERSATU sudah jadi UMNO 2.0. UMNO 3.0. Banyak sangat UMNO-style. Petualang UMNO ramai buat hijrah ke BERSATU. Dikatanya ubah kiblat. Ini yang kita tidak mahu ada dalam BERSATU.

“BERSATU bukan UMNO. BERSATU tidak perlu jual negara untuk survival politik. BERSATU tidak perlu hipokrit dan mainkan isu perkauman untuk politik.

“Menang atau kalah di Putrajaya, BERSATU tidak boleh dan tidak akan sesekali menggunakan amalan dan cara UMNO untuk survival politik. Ini yang membezakan kita dan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dasar sempena Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Armada bertema Merintis Perjuangan di Pusat Persidangan Antarabangsa Putrajaya (PICC) hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Disember 2018 @ 11:22 AM