ANNUAR (kiri) menyampaikan pakej sim card Remaja Keluarga Malaysia internet pelajar ketika melawat Pusat Ekonomi Digital Keluarga Malaysia (PEDi) di Dewan Balai Raya Kampung Langkuas Kinarut. FOTO BERNAMA
ANNUAR (kiri) menyampaikan pakej sim card Remaja Keluarga Malaysia internet pelajar ketika melawat Pusat Ekonomi Digital Keluarga Malaysia (PEDi) di Dewan Balai Raya Kampung Langkuas Kinarut. FOTO BERNAMA
Rafiqah Dahali

Papar: Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berpendapat hubungan Umno dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di peringkat nasional tidak renggang berikutan kedua parti masih dalam kerajaan yang sama.

Beliau bagaimanapun berkata, apa yang berlaku antara kedua-dua parti politik terbabit merupakan lumrah politik.

"Saya rasa tidak renggang. Kita masih dalam satu kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

"Kita adalah satu gabungan beberapa parti termasuklah adanya Bersatu. Cuma saya rasa apa yang berlaku ini lumrah politik. Masing-masing sedang membuat pelarasan jadi biarlah proses ini berjalan secara harmoni kerana ini satu ketentuan yang tidak dapat dielakkan.

"Menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), setiap parti politik akan mengambil strategi masing-masing dan setiap parti mempunyai kaedah penentuan oleh pelbagai peringkat jawatankuasa dan sebagainya. Saya tidak menganggapnya (hubungan antara Umno dan Bersatu) sebagai berpatah arang berkerat rotan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditanya pemberita mengenai hubungan antara Umno dan Bersatu yang dikatakan telah renggang selepas sesi lawatannya ke PEDi Dewan Balai Raya Kampung Langkuas, di sini, hari ini.

Menurutnya, mana-mana pihak harus menerima hakikat politik merupakan seni segala kemungkinan dan tiada yang kekal dalam politik.

Katanya, jika ada sesuatu perkara atau dasar yang diputuskan oleh mana-mana parti politik, jangan anggap ia adalah sesuatu yang kekal.

"Sesuatu perkara boleh berubah dan kita harus kekal pragmatik untuk terus mara ke hadapan. Buat masa ini Umno-BN, kita sudah ada keputusan dasar yang dibuat ketika Perhimpunan Agung Umno (PAU).

"Maka itulah dasar semasa tetapi kalau kita bergerak ke hadapan, pucuk pimpinan kita mungkin akan berhadapan dengan situasi berbeza lagi dan kita boleh berbincang.

"Jadi kalau kita tengok di Sabah misalnya, kerajaan negeri Gabungan Rakyat Sabah (GRS) - BN, kerajaan di pusat adalah kerajaan Perikatan Nasional (PN)-BN dan itu sedang berjalan dengan baik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Mac 2022 @ 5:30 PM