RAKAMAN tular menunjukan sekumpulan samseng jalanan menaiki motosikal dengan membakar suar dan menaikkan kain rentang 'KERAJAAN GAGAL' di Batu Pahat, Johor malam kelmarin. FOTO Ihsan pembaca
RAKAMAN tular menunjukan sekumpulan samseng jalanan menaiki motosikal dengan membakar suar dan menaikkan kain rentang 'KERAJAAN GAGAL' di Batu Pahat, Johor malam kelmarin. FOTO Ihsan pembaca
Redzuan Muharam

Kuala Lumpur: Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Bersatu Johor mendesak pihak berkuasa untuk menyiasat dan mendedahkan dalang di sebalik demonstrasi jalanan menggunakan suar di Batu Pahat, Johor malam kelmarin.

Ketuanya, Muhammad Shamsuddin Paijan berkata, tindakan perlu diambil bagi menyelesaikan isu serius itu ketika negara sedang berusaha membendung penularan Covid-19 dan menjalani Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Armada Bersatu Johor percaya, perbuatan tidak bermoral itu didalangi individu tidak bertanggungjawab dalam merancang untuk menimbulkan spekulasi dan persepsi buruk kepada kerajaan sehingga melakukan tindakan di luar batasan yang menunjukkan hilangnya sifat patriotisme.

"Armada Bersatu Johor yakin dan percaya tanpa dalang yang menyogok dan mengarahkan provokasi dengan menggunakan anak muda sebagai 'alat provokasi' bagi kepentingan politik peribadi, insiden ini tidak akan berlaku.

"Namun, ternyata sudah terlihat beberapa ahli politik menunjukkan sokongan dan bersetuju dengan tindakan itu," katanya pada kenyataan hari ini.

Menurut Muhammad Shamsuddin, Armada Bersatu Johor kesal kerana rata-rata anak muda yang baru tamat pengajian dijadikan alat provokasi kejadian terbabit.

"Usahlah memperjudikan masa depan anak muda ini demi kepentingan politik peribadi.

"Sebaiknya, bimbing anak muda ini dengan menggunakan masa dan tenaga mereka membantu kerajaan menyebarkan kesedaran dan pentingnya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan bagi menangani Covid-19.

"Perkara sebegini tidak boleh dipandang remeh kerana ia boleh menjadi faktor penyumbang kepada peningkatan kes Covid-19 di negara kita," katanya.

Menurut Muhammad Shamsuddin, Armada Bersatu Johor yakin kerajaan sentiasa berusaha memastikan keselamatan dan kesihatan rakyat terus terjamin.

Katanya, keputusan kerajaan baru-baru ini semestinya bukan bersifat zalim tetapi pandangan pakar kesihatan dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) diambil kira bagi menurunkan lekuk kebolehjangkitan Covid-19 ini.

"Armada Bersatu Johor mengajak masyarakat untuk mengambil pengajaran daripada India yang menunjukkan peningkatan penularan Covid-19 yang begitu drastik sehingga sukar dikawal.

"Marilah kita berganding bahu membantu kerajaan dalam menyebarkan nasihat dan kesedaran bagi membendung pandemik Covid-19," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Mei 2021 @ 6:29 PM