WAN Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal. FOTO arkib NSTP
WAN Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal. FOTO arkib NSTP
Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: Keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dijadikan rujukan Angkatan Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk bermuhasabah dan memberi khidmat terbaik kepada rakyat.

Ia termasuk menilai semula tawaran kepada anak muda dan penjawat awam yang dibuat sebelum ini sama ada ia memenuhi kehendak akar umbi atau sebaliknya.

Ketuanya Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, pihaknya akan menumpukan kepada pengkaderan ahli Armada seperti juga sayap Perikatan Nasional (PN) yang lain.

"Kita akan lihat semula soal kebajikan rakyat dan ia sudah diperhalusi jawatankuasa Armada pusat yang akan membuat pengumuman mengenainya dalam masa terdekat.

"Armada sudah lakukan post-morterm di peringkat sayap parti, tidak ada apa-apa yang serius melainkan kelemahan jentera di PRN Melaka, kita akan perbaikinya," katanya.

Menurutnya Armada dalam konteks PN perlu lebih memahami denyut nadi rakyat khususnya membabitkan kestabilan politik serta perkara asas seperti ekonomi dan kebajikan.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Perpaduan Negara berkata, perkara sama juga diingatkan kepada jentera parti pada Persidangan Bahagian Bersatu Titiwangsa baru-baru ini dan ia menjadi titik tolak kepada perubahan gerak krja yang lebih mantap.

"Di peringkat pusat, kita lakukan bedah siasat punca kekalahan di Melaka serta untuk tidak mengulanginya adalah dengan terus memperkukuh hubungan bersama rakan-rakan parti komponen dalam PN sama ada di peringkat negeri, bahagian mahupun cawangan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 November 2021 @ 4:23 PM