GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Hassan Omar


PANTAI peranginan dari Kuala Linggi, ke Pengkalan Balak di Masjid Tanah dekat Alor Gajah, dipenuhi pengunjung yang menikmati cuti umum Krismas, hari ini, meskipun kawasan itu pernah digemparkan dengan kehadiran buaya sebelum ini.

Tinjauan NSTP dari Kuala Linggi ke Pengkalan Balak yang sejauh kira-kira 20 kilometer (km) hari ini mendapati pantai indah semula jadi di kawasan berkenaan menjadi pilihan untuk orang ramai beriadah bersama anggota keluarga masing-masing.

Pengunjung, Nur Najihah Yaakob, 23, berkata, dia mengambil kesempatan cuti umum untuk membawa anak saudaranya berkelah di pantai Kampung Tengah, Kuala Sungai Baru walaupun menyedari seekor buaya tembaga pernah terperangkap pada rawai nelayan di pantai itu hujung bulan lalu.

“Saya jarang bercuti kerana sibuk dengan kerja dan cuti umum hari ini adalah waktu terbaik untuk saya mandi manda bersama anak saudara di pantai.

“Saya pernah membaca laporan akhbar mengenai buaya tersangkut rawai nelayan di kampung ini tetapi saya bertawakal kepada Allah, semoga Allah melindungi kami daripada serangan buaya,” katanya ketika ditemui di pantai itu, hari ini.

Dalam kejadian 30 November lalu, seekor buaya tembaga sepanjang kira-kira 3.5 meter yang tersangkut pada mata kail rawai nelayan terlepas ketika operasi ditarik ke gigi pantai.

Dalam kejadian 11.45 pagi itu, buaya keperang-perangan itu terlucut daripada mata kail dan gumpalan tali rawai ketika berada di gigi pantai sejurus sebelum kakitangan Jabatan Perlindungai Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) dan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat menangkapnya dengan menggunakan jaring.

Sementara itu, pengunjung lain, Roslan Ibrahim yang ditemui di pantai peranginan Pengkalan Balak berkata, dia dan keluarga mengambil kesempatan cuti berkenaan untuk berehat sambil menikmati keindahan pantai selepas penat bekerja.

Petugas di syarikat swasta di Kuala Lumpur itu berkata, keindahan pantai berkenaan menyebabkan dia dan dua anggota keluarganya tidak terfikir buaya akan muncul semula.

“Selama ini saya tidak pernah mendengar berita ada pelancong di sini dibaham buaya dan saya berdoa Allah menyelamatkan saya dan anggota keluarga daripada ancaman buaya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Disember 2018 @ 2:18 PM