Orang ramai merakam gambar buaya (dalam bulatan) yang muncul di pantai peranginan Pengkalan Balak, Masjid Tanah hari ini. FOTO Hassan Omar
Orang ramai merakam gambar buaya (dalam bulatan) yang muncul di pantai peranginan Pengkalan Balak, Masjid Tanah hari ini. FOTO Hassan Omar
Hassan Omar


Masjid Tanah: Pengunjung pantai peranginan Pengkalan Balak dan Padang Kemunting, di sini, hari ini terkejut apabila kehadiran mereka 'disambut' seekor buaya yang berenang di perairan berhampiran pantai.

Dalam kejadian jam 11.45 pagi itu, pengunjung yang kebanyakan dari Kuala Lumpur dan Selangor sempena cuti umum Thaipusam terpaksa naik ke darat, selain ada juga yang merakam gambar reptilia itu.

Pengunjung dari Banting, Selangor Abdul Karim Md Jadi, 45, berkata dia dan empat ahli keluarganya terkejut apabila pengunjung menjerit memaklumkan kehadiran haiwan itu.

"Inilah kali pertama saya menyaksikan buaya air masin berenang di kawasan berhampiran pantai dan kami amat teruja melihat buaya dengan mata kepala sendiri," katanya ketika ditemui di pantai Pengkalan Balak.

Sulaiman Abdul Hadi, 56, berkata dia dan tiga anggota keluarganya yang menginap di chalet pantai Pengkalan Balak tidak mahu melepaskan peluang merakam gambar haiwan itu.

"Buaya itu agak besar, kami sekeluarga dan pengunjung yang lain tidak berani untuk mandi-manda di pantai kerana bimbang diserang buaya," katanya.

Sementara itu, nelayan Abu Bakar Abdul Aziz, 67, berkata buaya berkenaan dipercayai datang dari Kuala Linggi, kira-kira 13 kilometer dari Pengkalan Balak dan berenang ke Padang Kemunting sebelum berpatah semula ke Kuala Linggi.

"Kuala Linggi adalah habitat buaya dan saya percaya buaya yang dilihat hari ini datang dari perairan itu," katanya.

Ia itu bukan kali pertama berlaku, sebaliknya sudah beberapa kali dia sendiri dan pengunjung pantai mengesan kehadiran buaya seumpama itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Februari 2023 @ 3:06 PM