DAHAN pokok patah dan menghempap pondok dan tempat nelayan menyusun rawai di pantai Pengkalan Balak, Masjid Tanah. FOTO HASSAN OMAR
DAHAN pokok patah dan menghempap pondok dan tempat nelayan menyusun rawai di pantai Pengkalan Balak, Masjid Tanah. FOTO HASSAN OMAR
Hassan Omar


Alor Gajah: Lima minit dipisahkan dengan ajal. Itu situasi dilalui empat nelayan yang nyaris dihempap dahan pokok patah.

Dalam kejadian jam 7 pagi tadi, dahan pokok itu menghempap pondok menjual buah-buahan dan makanan serta kerusi tempat semua mangsa berehat di Pengkalan Balak di sini.

Salah seorang mangsa, Othman Ibrahim, 63, berkata, kerana kejadian berlaku kira-kira lima minit selepas dia dan rakan-rakan masuk ke dalam kedai berhampiran untuk berlindung daripada hujan.

Menurutnya, mereka sedang menyusun rawai, iaitu ratusan mata kail yang diikat pada tali panjang yang digunakan untuk menangkap ikan di lokasi berkenaan.

"Kami terpaksa berpindah ke Medan Selera Pengkalan Balak yang hanya lima meter dari pangkalan nelayan itu untuk berteduh daripada hujan.

"Tiba-tiba dahan pokok itu patah dan menghempap pondok tempat kami berteduh sebelum itu," katanya.

Othman berkata, pokok berkenaan ditanam Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) kira-kira 25 tahun lalu bagi menambah keindahan pantai peranginan Pengkalan Balak yang terkenal sebagai satu daripada destinasi pelancongan menarik di negeri ini.

"Pokok itu sudah tua dan sejak dua bulan lalu kami dapati sudah ada kesan rekahan pada pangkal dahan tetapi kami tidak menyangka ia akan patah dalam masa terdekat," katanya.

Yang Dipertua MPAG, Mohd Fadhil Hassan yang dihubungi berkata, beliau sudah meminta kakitangan MPAG memotong dahan yang patah bagi membolehkan nelayan terus menggunakan kawasan itu sebagai pangkalan perahu mereka.

Selain itu, ia juga bertujuan membantu memastikan keindahan pantai peranginan itu tidak tercemar dengan kesan dahan patah atau pokok tumbang yang hanya akan menyebabkan pelancong memandang negatif aspek pemeliharaan kebersihan dan keindahan di pantai itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 November 2020 @ 6:18 PM