TERTUDUH (tengah) berbincang dengan Sukhdave Singh selepas didakwa di Mahkamah Majistret Kampar, hari ini. Foto L MANINARAN
TERTUDUH (tengah) berbincang dengan Sukhdave Singh selepas didakwa di Mahkamah Majistret Kampar, hari ini. Foto L MANINARAN
Mohd Hafizee Mohd Arop


REMAJA lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kampar, hari ini atas tuduhan merogol seorang remaja perempuan, Ogos tahun lalu.

Bagaimanapun, tertuduh mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Nur Faizah Muhamad Saleh dalam prosiding yang diadakan secara tertutup itu.

Tertuduh yang kini berusia 17 tahun itu didakwa melakukan persetubuhan dengan remaja berusia 16 tahun ketika kejadian itu di kawasan Air Terjun Batu Berangkai, Kampar kira-kira jam 8 pagi, 25 Ogos 2017.

Dia didakwa mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Norashikin Hassan manakala tertuduh diwakil peguam Sukhdave Singh.

Siti Norashikin menawarkan jaminan RM5,000 kepada tertuduh sebelum Sukhdave memohon jumlah jaminan itu dikurangkan.

Nur Faizah kemudian membenarkan tertuduh diberi jaminan RM3,500 dengan seorang penjamin. Kes akan disebut semula 14 Januari depan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Disember 2018 @ 11:19 AM