Mohamed Farid Noh


Pontian: Pemandu lori didakwa atas tiga pertuduhan meludah, memaki seorang remaja dan memecahkan cermin sisi kenderaan seorang wanita selepas berang dihon atas jalan raya hadapan Masjid Jamek Nur Saadah, Felda Taib Andak, Kulai pada 3 Mei lalu.

Tertuduh, Muhammad Farhan Zainuddin, 24, mengaku bersalah atas ketiga-tiga pertuduhan selepas ia dibacakan di hadapan Majistret Nur Azzuin Abdul Moati.

Muhammad Farhan yang ketika kejadian sedang menunggang motosikal didakwa meludah seorang remaja berusia 18 tahun sehingga mengganggu keamanan remaja berkenaan.

Tertuduh turut didakwa melakukan khianat dengan memecahkan cermin sisi kereta Proton X70 milik seorang wanita berusia 50 tahun sehingga mengakibatkan kerugian RM1,644.

Tertuduh juga didakwa mengaibkan kehormatan remaja lelaki yang sama dengan mengeluarkan perkataan 'babi' di lokasi kejadian kira-kira jam 5.50 petang 3 Mei lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955, Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman denda maksimum RM100 selain dipenjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurezzati Zaini manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Harryzan Abdullah.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya memohon mahkamah mengenakan jaminan sebanyak RM8,000 bagi setiap pertuduhan.

Bagaimanapun, peguam tertuduh merayu supaya jaminan itu dikurangkan berikutan tertuduh mempunyai gaji yang rendah.

Mahkamah kemudian membenarkan jaminan keseluruhan sebanyak RM4,500 ke atas semua pertuduhan dengan seorang penjamin.

Kes akan disebut semula di Mahkamah Majistret Kulai pada 25 Mei depan bagi jatuh hukum.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Mei 2022 @ 12:34 PM