TIGA mayat mangsa runtuhan dipercayai akibat letupan gas di restoran makanan segera Korea di City One Mega Mall, Kuching. FOTO Mohd Roji Kawi
TIGA mayat mangsa runtuhan dipercayai akibat letupan gas di restoran makanan segera Korea di City One Mega Mall, Kuching. FOTO Mohd Roji Kawi
Ekhwan Haque Fazlul Haque


SAYU hati abang apabila dimaklumkan adiknya terbabit dalam kejadian letupan di Kompleks City One Mega Mall, Kuching, hari ini.

Lelaki yang hanya mahu dikenali sebagai Ah Siang berkata, dia menerima panggilan daripada teman wanita rakan sekerja adiknya, memaklumkan adiknya yang mesra disapa Ah Yu antara mangsa letupan.

“Saya dapat tahu adik terbabit dalam kejadian ini selepas terima panggilan dari teman wanita rakan sekerjanya.

"Adik saya bersama beberapa pekerja lain memasang saluran paip di lokasi kejadian sejak beberapa hari lalu," katanya ketika ditemui di perkarangan Jabatan Forensik Hospital Umum Sarawak (HUS) ditemani tiga lagi rakannya.

Jelas terpancar perasaan sayu pada wajah Ah Siang selepas mengesahkan adiknya seorang daripada mangsa yang terbunuh.

Sehingga 6 petang ini, perkarangan Jabatan Forensik HUS lengang selepas mayat dihantar 5.50 petang tadi.

Difahamkan, proses bedah siasat akan dijalankan 9 malam ini oleh pasukan perubatan HUS bagi mengetahui punca kematian.

Sumber berkata, mangsa yang maut berusia 24, 29 dan 49 tahun.

Dalam kejadian 3.30 petang tadi, tiga lelaki disahkan maut manakala 19 lagi cedera selepas berlaku letupan di pusat beli belah terbabit.

Mangsa dipercayai pekerja binaan yang sedang mengubahsuai ruang kedai di premis berkenaan.

Berita berkaitan

[UPDATE] 3 maut letupan di CityOne MegaMall

[UPDATE] 2 pekerja restoran turut maut

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Disember 2018 @ 6:53 PM