Hardi Effendi Yaakob dan Mohd Roji Kawi


DUA pekerja restoran antara tiga maut akibat dihempap runtuhan siling sebuah restoran dalam kejadian letupan di Kompleks City One Mega Mall, Kuching, hari ini.

Dalam kejadian jam 3.35 petang itu, seorang lagi mangsa adalah pekerja pembinaan yang terbabit dalam kerja pengubahsuaian restoran berkenaan.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, Khirudin Drahman berkata, seramai 26 lagi mangsa cedera dengan empat daripadanya parah.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, lima adalah wanita manakala 17 lagi adalah lelaki dan identiti semua mangsa termasuk tiga yang maut sedang dikenal pasti.

“Pihak kami menerima panggilan kecemasan pada jam 3.37 petang sebelum sepasukan lebih 30 anggota termasuk HAZMAT dan EMRS dikejarkan ke lokasi.

“Daripada tiga lelaki yang maut itu, dua adalah penduduk tempatan manakala seorang berasal dari Pulau Pinang,” katanya.

Beliau berkata, hasil siasatan awal, kejadian itu dipercayai berlaku akibat letupan tong gas dipercayai ketika kerja pengubahsuaian sedang dilakukan.

“Difahamkan, restoran berkenaan akan dibuka secara rasmi esok, dan hari ini pekerja restoran berkenaan serta pekerja kontrak sedang sibuk membuat persiapan akhir.

“Sebahagian daripada mangsa adalah pengunjung kompleks berkenaan yang kebetulan melalui restoran berkenaan ketika letupan berlaku,” katanya.

Berita berkaitan

[UPDATE] 3 maut letupan di CityOne MegaMall

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Disember 2018 @ 6:40 PM
MANGSA letupan dibawa keluar dari Kompleks City One, Kuching untuk menerima rawatan, hari ini. Foto MOHD ROJI KAWI
MANGSA letupan dibawa keluar dari Kompleks City One, Kuching untuk menerima rawatan, hari ini. Foto MOHD ROJI KAWI