MOTOSIKAL mangsa remuk teruk selepas bertembung dengan lori membawa muatan ikan di Batu 1, Jalan Tapah-Cameron Highlands di Tapah, hari ini. FOTO ihsan polis.
MOTOSIKAL mangsa remuk teruk selepas bertembung dengan lori membawa muatan ikan di Batu 1, Jalan Tapah-Cameron Highlands di Tapah, hari ini. FOTO ihsan polis.
Muhammad Apendy Issahak


PEMUDA Orang Asli maut selepas motosikal ditunggangnya bertembung dengan lori membawa muatan ikan dalam kemalangan di Batu 1, Jalan Tapah-Cameron Highlands di Tapah, hari ini.

Kemalangan pada 7 pagi itu mengakibatkan Bah Mazlan Junr, 20, meninggal dunia di lokasi kejadian manakala pemandu lori lelaki berusia 23 tahun tidak cedera.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Wan Azharuddin Wan Ismail, berkata pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu pada 7.10 pagi daripada orang awam yang memaklumkan berlaku kemalangan membabitkan motosikal Yamaha LC135 dengan lori muatan ikan.

“Siasatan awal mendapati penunggang motosikal berkenaan menaiki motosikal bersendirian dan dalam perjalanan menuju ke arah Cameron Highlands sebelum bertembung dengan lori dari arah bertentangan.

“Akibat kemalangan itu, mangsa yang beralamat di Sungai Bot Batu 8, Jalan Pahang, Tapah, maut di tempat kejadian dan pemandu lori yang beralamat di Kampung Baru Air Kuning, Tapah, tidak cedera,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, kemalangan itu mengakibatkan motosikal mangsa remuk dan lori mengalami kerosakan di bahagian hadapan.

Menurutnya, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Tapah untuk dibedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Disember 2018 @ 11:00 AM