Oleh Rosman Shamsudin


Tapah: Kejadian tanah runtuh baharu di Batu 25 dan Batu 26 menyebabkan Jalan Pahang dari Tapah-Cameron Highlands dekat sini, ditutup sepenuhnya mulai hari ini.

Ketua Polis Daerah Tapah Superintendan Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, ekoran kejadian tanah runtuh semalam, menyebabkan berlaku lagi kejadian tanah runtuh baharu di jalan berkenaan yang menghalang laluan semua kenderaan.

Kata beliau, disebabkan banyak runtuhan baharu di kawasan terbabit, ia dikhuatiri bakal membahayakan pengguna jalan berkenaan.

"Hasil perbincangan polis dengan Jabatan Kerja Raya (JKR), kami mengambil keputusan menutup Jalan Tapah-Cameron Highlands sepenuhnya bermula hari ini sehingga kerja pembersihan runtuhan selesai dijalankan," katanya pada kenyataan.

Wan Azharuddin berkata, papan tanda penutupan jalan terbabit sudah diletakkan di Batu 4, Jalan Pahang.

Pengguna jalan-raya masih tidak dibenarkan melalui kawasan tanah runtuh di sepanjang Jalan Tapah - Cameron-Highlands. FOTO SHARUL HAFIZ ZAM
Pengguna jalan-raya masih tidak dibenarkan melalui kawasan tanah runtuh di sepanjang Jalan Tapah - Cameron-Highlands. FOTO SHARUL HAFIZ ZAM

Kata beliau, pengguna yang mahu menggunakan jalan berkenaan untuk ke Cameron Highlands dinasihati menggunakan jalan alternatif yang lain.

"Bagaimanapun, bagi penduduk yang tinggal di sepanjang jalan terbabit sehingga ke Batu 20, mereka masih boleh menggunakan jalan berkenaan.

"Penduduk turut dinasihati supaya berhati-hati menggunakan jalan terbabit dan peka dengan perkembangan semasa," katanya.

Semalam, Harian Metro melaporkan, Jalan Tapah-Cameron Highlands dekat Batu 25 dan 26, terhalang kepada semua kenderaan berikutan tanah runtuh.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 November 2021 @ 5:41 PM