LIMA lelaki termasuk pelajar sedang menduduki SPM dan remaja Pakistan yang menunjukkan aksi berbahaya mengangkat tayar hadapan atau wheelie ditahan polis dalam Ops Samseng Jalanan di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur, malam tadi.
LIMA lelaki termasuk pelajar sedang menduduki SPM dan remaja Pakistan yang menunjukkan aksi berbahaya mengangkat tayar hadapan atau wheelie ditahan polis dalam Ops Samseng Jalanan di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur, malam tadi.
Mohd Azam Shah Yaacob


TERPENGARUH budaya tidak berfaedah, tindakan seorang remaja warga Pakistan menyertai kegiatan bersama mat rempit di ibu negara mengundang padah pada dirinya.

Remaja Pakistan itu bersama beberapa mat rempit lain dikesan melakukan aksi berbahaya seperti mengangkat tayar hadapan atau ‘wheelie’ ketika berkumpul di Dataran Merdeka, malam tadi.

Bagaimanapun, dia bersama empat lelaki berusia antara 17 hingga 25 tahun termasuk seorang pelajar tingkatan lima yang sedang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ditahan.

Operasi itu dijalankan oleh Unit Risikan/Operasi (RO) Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur menerusi Ops Samseng Jalanan diketuai Asisten Superintendan Ahmad Fuad Nin Mahmod.

Ketua JSPT Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulekfly Yahya berkata, lima lelaki itu termasuk berstatus warga asing ditahan mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana menunggang secara berbahaya.

“Dalam operasi malam tadi, semua lelaki itu dikesan menunggang secara berbahaya di kawasan Dataran Merdeka.

“Semakan lanjut mendapati seorang daripada remaja itu adalah warga asing dan terjebak dengan gejala mat rempit kerana terpengaruh dan ingin menunjukkan kehebatan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Selain itu, Zulkefly berkata, polis turut terkejut apabila mendapati salah seorang remaja yang ditahan masih bersekolah di tingkatan lima dan sedang menduduki peperiksaan SPM.

Katanya, sebanyak 11 saman kesalahan trafik turut dikeluarkan dalam operasi yang bermula 11.30 malam dan tamat 2.30 pagi itu.

“Antara kesalahan dikesan adalah tidak mempunyai lesen memandu, ubah suai motosikal dan tiada cermin sisi.

“JSPT Kuala Lumpur akan terus menjalankan operasi sedemikian bagi mencegah kegiatan lumba haram yang kini banyak disertai remaja,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 November 2018 @ 4:05 PM