ANTARA 11 mat rempit yang ditahan berlumba haram dan melakukan aksi zig zag dalam dua serbuan berasingan di Kuantan, Pahang. FOTO IHSAN PDRM.
ANTARA 11 mat rempit yang ditahan berlumba haram dan melakukan aksi zig zag dalam dua serbuan berasingan di Kuantan, Pahang. FOTO IHSAN PDRM.
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Tindakan seorang calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) berlumba haram dan melakukan aksi zig zag mengundang padah apabila dia antara 11 mat rempit yang ditahan dalam dua serbuan berasingan di Kuantan, Pahang, awal pagi ini.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Mohd Nadzri Hussain berkata, kegiatan mereka dikesan Unit Risikan/Operasi Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman yang melakukan pemantauan sekitar Jalan Kuantan Bypass, Kuantan pada 3.15 pagi.

Katanya, sekumpulan penunggang motosikal dilihat melakukan aksi bersaing sesama sendiri, aksi zig zag dan menunduk badan.

Menurutnya, perbuatan itu dilakukan dari Persimpangan Lampu Isyarat Permatang Badak sehingga ke U Turn Pandan dan menghala semula ke persimpangan lampu isyarat itu.

"Lapan lelaki terbabit termasuk remaja berusia 17 tahun berkenaan melakukan aksi itu sebanyak empat pusingan sehingga membahayakan nyawa sendiri dan pengguna jalan raya.

"Susulan itu, suspek ditahan di beberapa lokasi berbeza di Kampung Pahang Tua, Pekan dan sebuah stesen minyak di Kampung Ubai, Jalan Kuantan-Pekan pada 4 pagi," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Nadzri berkata, tiga lagi lelaki ditahan ketika pemeriksaan polis di Jalan Kuantan-Pekan pada 3 pagi dan mereka melakukan aksi sama bermula dari Simpang Jalan Kampung Lamer Jalan Kuantan-Pekan sehingga ke stesen minyak Kampung Ubai Jalan Kuantan-Pekan.

"Susulan itu, mereka ditahan setengah jam kemudian ketika berhenti di stesen minyak di Mukim Langgar, Pekan.

"Semua tangkapan berusia 16 hingga 24 tahun kemudian dibawa ke Balai Polis Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Beliau berkata, sebanyak 32 saman dikeluarkan dan kes disiasat mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 November 2020 @ 2:31 PM