BARISAN motosikal yang memenuhi Jalan Raja Laut untuk menunggu pemeriksaan dijalankan.
BARISAN motosikal yang memenuhi Jalan Raja Laut untuk menunggu pemeriksaan dijalankan.

Kuala Lumpur: Kepung lebih 1,000 penunggang motosikal dalam operasi mega di pusat ibu kota

Itu antara tindakan cekap polis menutup laluan dari Dataran Merdeka sehingga ke Jalan Raja Laut menuju ke Jalan Sultan Ismail, di sini, menyebabkan penunggang motosikal gagal untuk melarikan diri.

Operasi diadakan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur bermula jam 9 malam kelmarin, menyebabkan kumpulan penunggang motosikal bermasalah dan ‘mat rempit’ terpaksa menyerah diri.

Operasi skala besar itu mengakibatkan kesesakan lalu lintas lebih dua kilometer di laluan itu yang dipenuhi dengan deretan motosikal.

Semua mereka terpaksa akur ketika diperiksa anggota polis melalui Operasi Tutup (Op Tutup) diadakan JSPT di kawasan menjadi tumpuan penunggang motosikal.

Ketua JSPT Kuala Lumpur Asisten Komisioner Nadzri Hussain berkata, pihaknya menganggarkan lebih 1,000 motosikal diperiksa dalam operasi itu.

“Hasil pemeriksaan itu, kami mengeluarkan sebanyak 391 saman terhadap penunggang motosikal atas pelbagai kesalahan termasuk tiada lesen, cukai jalan tamat tempoh dan tiada nombor pendaftaran kenderaan.

“Dalam operasi itu juga, kami turut menahan seorang lelaki yang dikehendaki polis berhubung kes kecurian motosikal di Sentul, di sini. Suspek diserahkan kepada pegawai penyiasat Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul,” katanya.

Nadzri berkata, pihaknya sentiasa memantau pergerakan motosikal yang menjadikan lokasi sekitar Dataran Merdeka dan Jalan Raja Laut sebagai ‘port’ untuk melepak dan aktiviti berlumba.

“Setiap hujung minggu, lokasi ini sering menjadi tumpuan ‘mat motor’ untuk lepak dan melakukan aksi berbahaya walaupun sering kali operasi dijalankan pihak berkuasa untuk ‘membersihkan’ kawasan berkenaan.

“Disebabkan itu, kami akan menjalankan operasi seumpamanya dengan lebih kerap lagi dalam usaha menjadikan lokasi ini bebas dari sebarang aktiviti rempit dan jenayah sosial,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Ogos 2017 @ 3:48 AM