GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Izlaily Nurul Ain Hussein


GELANDANGAN maut dipercayai ditikam lelaki menggunakan serpihan botol kaca dalam satu kejadian di kedai makan berhadapan stesen minyak di Gelang Patah, awal pagi hari ini.

Dalam kejadian 6.30 pagi, mangsa berusia 36 tahun yang hanya bekerja menjual kotak dan membantu membuang sampah kedai makan, ditemui maut dengan kesan tikaman di leher sepanjang empat sentimeter (cm).

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar berkata, hasil siasatan awal mendapati mangsa lelaki itu sedang tidur di atas meja di tempat kejadian sebelum suspek datang dan mengejutkannya.

“Seorang saksi yang berniaga di kedai makan nampak suspek dan mangsa kemudian pergi ke kedai sebelah dan tiba-tiba dia terdengar bunyi benda pecah dan nampak mangsa berlumuran darah di leher.

“Suspek dikatakan tidak melarikan diri dan cuma mundar-mandir di kawasan kedai, malah menurut saksi, tiada orang lain ketika kejadian dan hanya mangsa serta suspek sahaja,” katanya.

Menurut Dzulkhairi, mangsa sudah kira-kira dua tahun tidur di kawasan kedai dan tidak pernah mengganggu sesiapa, namun kadang kala mangsa mabuk.

Katanya, menurut saksi, dia tidak pernah nampak suspek sebelum ini dan hanya melihatnya datang kira-kira 3 pagi di kawasan itu ketika saksi hendak memulakan perniagaan.

Dzulkhairi berkata, siasatan awal mendapati mangsa dipercayai ditikam di bahagian lehernya menggunakan botol kaca yang dipecahkan dan punca kejadian dipercayai kerana perselisihan faham dan mangsa dalam keadaan mabuk.

Beliau berkata, suspek lelaki warga Indonesia berusia 24 tahun yang bekerja sebagai jurukimpal itu kemudian ditahan orang awam dan diserahkan kepada anggota polis.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 November 2018 @ 11:23 AM