Sidang Media Ketua Polis Daerah Sentul berkaitan Kes melarikan orang, Kes pembunuhan warga Myanmar dan Kes rampasan pil kuda di Bilik Rafflesia Aras Bawah, IPD Sentul, Kuala Lumpur. FOTO NUR RAIHANA ALIA
Sidang Media Ketua Polis Daerah Sentul berkaitan Kes melarikan orang, Kes pembunuhan warga Myanmar dan Kes rampasan pil kuda di Bilik Rafflesia Aras Bawah, IPD Sentul, Kuala Lumpur. FOTO NUR RAIHANA ALIA
Nurul Hidayah Bahaudin dan Lydia Saiful


Kuala Lumpur: Gara-gara enggan membayar hutang, seorang lelaki warga Myanmar maut dibunuh rakannya dalam kejadian di sebuah gelanggang bola keranjang di Kepong, di sini, Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd Zahari berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu daripada pegawai perubatan sebuah hospital swasta di Desa Park City, di sini, mengenai kematian mangsa kira-kira jam 4 pagi, Selasa lalu.

"Menurut pengadu, mangsa dibawa ke hospital berkenaan dengan kesan kecederaan pada leher, dada dan tangan serta darah kering yang banyak selain terdapat kesan lebam pada badannya.

"Pemeriksaan lanjut terhadap mangsa mendapati lelaki terbabit berusia 24 tahun dan bekerja sebagai tukang masak di sebuah restoran di Banting, Selangor.

"Namun, tiada dokumen ditemui pada mangsa," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul, di sini, hari ini.

Ahmad Sukarno berkata, siasatan awal dilakukan mendapati mangsa bersama empat rakan senegaranya minum minuman keras di gelanggang bola keranjang berkenaan pada hari kejadian.

"Perselisihan faham berlaku apabila mangsa enggan menjelaskan hutangnya sebanyak RM2,500 kepada salah seorang suspek yang bertindak mencucuk leher mangsa menggunakan serpihan botol arak.

"Kami percaya ketika kejadian berlaku, mangsa dan semua suspek dalam keadaan mabuk.

"Mangsa kemudian dihantar oleh suspek ke hospital swasta berkenaan sebelum melarikan diri," katanya.

Susulan itu, katanya, pihak polis menahan empat lelaki warga Myanmar berusia lingkungan 20-an dalam serbuan di Bandar Manjalara dan Cheras kira-kira jam 11 pagi, Selasa lalu.

"Kami turut merampas pakaian serta telefon milik semua suspek yang bekerja sebagai pembantu restoran dalam tangkapan berkenaan.

"Semua suspek direman selama tujuh hari bermula Rabu lalu hingga 20 Februari nanti untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Februari 2024 @ 1:59 PM