LAPORAN terdahulu Harian Metro
LAPORAN terdahulu Harian Metro
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Ipoh: Lelaki warga Vietnam yang dikehendaki polis selepas disyaki membunuh rakan senegaranya dipercayai melakukan jenayah itu kerana berang teman wanita rakannya diusik di sebuah pusat hiburan di Taman Sri Kurau, Bercham, di sini, 18 April lalu.

Dalam kejadian itu, lelaki dikenali sebagai 'Tam' berusia lingkungan 30 hingga 40-an dipercayai menikam rakannya, Vo Thang Thong, 40, dengan serpihan botol kaca di leher dan dada di kawasan parkir berdekatan pusat hiburan itu pada hari kejadian.

Vo bagaimanapun disahkan meninggal dunia kira-kira 1 pagi keesokannya ketika dirawat di Zon Merah, Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB).

Ketua Polis Daerah Ipoh Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, kejadian berlaku ketika suspek bersama sekumpulan individu warga Vietnam berhibur di pusat hiburan karaoke itu sekitar 10 malam pada hari kejadian sebelum berlaku pertengkaran mulut sesama mereka.

Katanya, siasatan mendapati punca kejadian dipercayai berlaku apabila mangsa dikatakan berkelakuan tidak senonoh dengan teman wanita salah seorang daripada enam lelaki kumpulan warga asing itu.

"Pertengkaran berlarutan sehingga ke parkir kenderaan berdekatan pusat hiburan sebelum mangsa kemudiannya disyaki ditikam menggunakan botol kaca di bahagian leher dan dada oleh suspek utama (Tam).

"Rakan suspek yang lain membawa mangsa ke HRPB bagi mendapatkan rawatan, manakala suspek utama terus melarikan diri. Namun setibanya di HRPB, doktor mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia," katanya dalam kenyataannya, malam ini.

Beliau berkata, susulan itu, tiga lelaki dan dua wanita warga Vietnam ditahan namun dibebaskan tanpa syarat selepas tempoh reman tamat.

"Sehingga kini, suspek utama yang disyaki menikam mangsa masih bebas manakala lima lagi yang ditahan didapati tidak terbabit dalam pembunuhan mangsa dan dibebaskan tanpa syarat," katanya.

Terdahulu, Yahaya dalam kenyataannya melaporkan lelaki dikenali dengan nama panggilan 'Tam' berusia lingkungan 30 hingga 40-an dengan memiliki ketinggian antara 165 hingga 170 sentimeter dikehendaki polis selepas terbabit dalam kes pembunuhan itu.

"Orang ramai yang mengenali atau mempunyai maklumat mengenai penama ini diminta menghubungi pegawai penyiasat kes, Asisten Superintendan S Dasarathan di talian 012-5644484 atau mana-mana balai polis berhampiran.

"Polis memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai penama ini supaya tampil membantu polis," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Mei 2023 @ 11:52 PM