GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Pertengkaran mulut antara dua lelaki di sebuah kedai di Jalan Simpang Empat, di sini malam tadi mengundang padah apabila seorang daripada mereka parah ditikam dalam pergaduhan itu.

Mangsa yang bekerja sebagai jurujual berusia 38 tahun itu cedera di beberapa bahagian badan serta mengalami pendarahan di paru-paru kanan.

Ketua Polis Daerah Kota Setar Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu dari sebuah pusat perubatan di sini jam 9 malam tadi memaklumkan menerima pesakit yang mempunyai kesan tikaman.

Beliau berkata, selepas memberi rawatan awal, pihak pusat perubatan itu kemudian menghantar mangsa ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk rawatan lanjut.

"Berdasarkan maklumat saksi, berlaku pertengkaran mulut antara mangsa yang dengan seorang lelaki berusia 60 tahun yang dikenalinya sewaktu mereka sedang minum di kedai makan berkenaan.

"Ketika itu, kedua-dua mereka disyaki dalam keadaan mabuk dan berlaku pergelutan antara mereka menyebabkan mangsa kemudian mengalami kecederaan akibat ditikam suspek," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ahmad Shukri berkata, berikutan itu, suspek yang bekerja sebagai mekanik itu ditahan untuk membantu siasatan.

Beliau berkata, pihaknya turut merampas sebilah gunting yang disyaki digunakan dalam kejadian itu.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan punca pergaduhan berlaku masih dalam siasatan," katanya.

Ahmad Shukri berkata, suspek direman tujuh hari bermula hari ini sehingga 13 Mac ini untuk membantu siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Mac 2022 @ 5:24 PM