Gambar Hiasan
Gambar Hiasan
Shahrinnahar Latib

SEORANG pesara kerajaan di Temerloh, Pahang, kerugian RM47,600 selepas diperdaya sindiket menyamar sebagai polis yang mendakwa mangsa terbabit kes penggubahan wang haram.

Kejadian itu bermula Rabu lalu apabila wanita berusia 59 tahun itu menerima panggilan telefon kononnya wakil Telekom Malaysia Berhad (TM) dan mendakwa talian telefon milik mangsa didaftarkan untuk kegiatan perjudian haram.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof, berkata mangsa menafikan dakwaan itu sebelum panggilan itu didakwa disambungkan ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur.

“Mangsa kemudian bercakap dengan seorang ‘pegawai polis’ sebelum dia dituduh terbabit dalam kes penggubahan wang haram.

“Bagi tujuan siasatan, suspek meminta mangsa membuat pindahan wang ke dalam akaun sementara dengan alasan akaun bank mangsa akan dibekukan pihak bank,” katanya.

Mohd Wazir berkata, mangsa diberikan nombor telefon untuk berhubung dengan seorang lagi ‘pegawai polis’ selepas melakukan pemindahan duit ke dalam akaun sementara itu.

“Pada keesokan harinya, mangsa membuat 11 kali pindahan wang ke dalam tiga akaun berbeza menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak RM47,600.

“Selepas memindahkan wang berkenaan, ‘pegawai polis’ itu memaklumkan bahawa wang berkenaan akan dikembalikan selepas siasatan kes berkenaan selesai,” katanya.

Mohd Wazir berkata, bagaimanapun, mangsa menyedari dirinya sudah ditipu sindiket selepas menceritakan perkara itu kepada anaknya.

“Susulan itu, mangsa membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh di sini, semalam dan polis kini sedang mengesan pemilik tiga akaun bank digunakan suspek.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Mei 2019 @ 11:47 AM