FOTO Hiasan
FOTO Hiasan
Shahrinnahar Latib


SEORANG peniaga kerugian RM56,479 akibat diugut bakal dipenjara seumur hidup kerana terbabit kes penggubahan wang haram berjumlah RM1.2 juta angkara sindiket penipuan melalui panggilan telefon.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, lelaki berusia 51 tahun dari Kuantan itu pada mulanya menerima panggilan telefon daripada seorang wanita, semalam.

“Suspek memperkenalkan diri sebagai Olivia Joseph dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan mendakwa mangsa terbabit dengan kes penggubahan wang haram berjumlah RM1.2 juta.

“Suspek turut memaklumkan bahawa waran tangkap sudah dikeluarkan ke atas nama mangsa,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, mangsa menafikan perkara itu, sebelum panggilan berkenaan disambungkan kepada seorang lagi suspek yang menyamar sebagai anggota polis bernama Sarjan Jefri.

“Mangsa kemudiannya dimaklumkan Sarjan Jefri mengenai perkara itu dan memaklumkan mangsa boleh dikenakan hukuman penjara seumur hidup jika sabit kesalahan.

“Selepas itu, mangsa dihubungi seorang bergelar Datuk yang mendakwa boleh membantu menyelesaikan masalah dihadapi dan meminta mangsa membuka akaun bank yang baharu serta memindahkan sejumlah wang ke akaun berkenaan,” katanya.

Mohd Wazir berkata, suspek turut memaklumkan kes itu akan diselesaikan dalam tempoh 24 jam selepas semua urusan pemindahan wang dilakukan mangsa.

Katanya, mangsa yang merasa curiga dengan tindakan suspek membuat semakan di bank dan mendapati baki dalam akaun miliknya cuma tinggal RM33, manakala RM56,479.80 lagi lesap.

“Mangsa membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah IPD Kuantan semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Mei 2019 @ 11:19 AM