Mohd Iskandar Ibrahim

KEMENTERIAN Pendidikan akan menjadikan Jawi sebagai tulisan warisan untuk dipelajari di sekolah dalam tempoh terdekat.

Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching berkata, pelbagai usaha giat dilakukan untuk merealisasikan perkara berkenaan dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

“Kementerian tidak pernah mengenepikan tulisan Jawi yang menjadi warisan budaya masyarakat Melayu, malah sentiasa menjalankan usaha memperkasakan penggunaan tulisan terbabit.

“Kementerian akan menjadikan Jawi sebagai tulisan warisan dan usaha meningkatkan fungsi tulisan itu dalam kalangan masyarakat giat dilaksanakan bersama DBP,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan asal Datuk Jalaluddin Alias (BN-UMNO Jelebu) mengenai langkah kementerian ke arah menyubur dan memperkasakan semula penggunaan tulisan Jawi.

Teo berkata, antara usaha giat dilaksanakan ialah memugarkan semula peranan Munsyi Dewan, mengemas kini Pedoman Ejaan Jawi, menyemak ejaan Jawi lama dan menghasilkan lebih banyak bahan ilmiah berkaitan tulisan terbabit.

“Di peringkat sekolah, melalui kurikulum sedia ada, tulisan Jawi tidak diajar secara khusus sebagai mata pelajaran.

“Bagaimanapun, tulisan Jawi adalah antara komponen diajar dalam mata pelajaran Pendidikan Islam.

“Kemahiran itu didedahkan di peringkat sekolah rendah dalam mata pelajaran Pendidikan Islam dan diperkukuhkan dalam subjek sama di peringkat sekolah menengah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Oktober 2018 @ 4:07 PM