Norhizam (tengah) bertikam lidah dengan Md Derus (kiri) dan Julia selepas sidang media susulan penutupan jalan alternatif ke Taman Akasia, Pengkalan Batu. (Gambar kecil) Woon menunjukkan gambar lelaki membuang penghadang jalan. FOTO Khairunisah Lokman
Nur Saliawati Salberi


“SAYA tidak sangka dia akan bersikap sebegitu, kami mendekatinya secara baik, tetapi sebaliknya berlaku,” kata penduduk Kampung Pulau Nibong, Juliah Mohamat.

Perbincangan yang dijangka dalam suasana harmoni bagi mencari penyelesaian membabitkan penutupan dua jalan alternatif di Taman Akasia, Pengkalan Batu, di Melaka itu sebaliknya bertukar menjadi tegang.

Ia berlaku apabila sekumpulan kira-kira 20 wakil penduduk kampung terbabit menghampiri dan menyapa EXCO Pertanian, Pembangunan Usahawan dan Industri Asas Tani negeri, Norhizam Hassan Baktee yang hadir bagi menjelaskan isu penutupan jalan berkenaan.

Juliah berkata, dia bersama sekumpulan penduduk hadir bagi membincangkan penutupan jalan itu yang menjadi laluan utama penduduk selepas Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) mengambil keputusan menutup laluan itu pada 2 Oktober lalu.

Bagaimanapun, katanya, sebelum sempat berunding situasi bertukar menjadi tegang dengan sikap Norhizam yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Batu.

“Rundingan perlu dilakukan kerana ia jalan utama bukan saja digunakan penduduk kampung ini, malah mereka yang tinggal di Bukit Beruang dan Ayer Keroh turut menggunakannya.

“Keputusan penutupan jalan ini dibuat secara terburu-buru tanpa sebarang rundingan bersama penduduk kampung,” katanya ketika ditemui hari ini.

Beliau berkata, laluan alternatif itu juga digunakan penduduk untuk akses ke jalan utama dan jika ia ditutup menyebabkan kesulitan kepada pengguna.

Seorang lagi penduduk kampung, Md Derus Tompang berkata, dia hadir ke sidang media itu atas jemputan yang diterima melalui surat rasmi pada petang semalam.

“Saya terkejut apabila beliau (Norhizam) menafikan surat itu sedangkan ia surat rasmi yang mempunyai kepala surat Jawatankuasa dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (JAPERUN), malah turut mempersoalkan saya adalah orang UMNO.

“Sepatutnya, sebagai wakil rakyat dia perlu bersikap profesional dan mendengar keluhan rakyat,” katanya.

Sementara itu, penduduk taman perumahan berkenaan, Woon Hai Sheng, 35, pula berkata, sikap pemandu yang melalui jalan alternatif di taman itu mengundang bahaya kepada penduduk, terutama kanak-kanak.

“Anak sulung saya sudah beberapa kali nyaris dilanggar, malah dalam kejadian terbaharu pada awal tahun ini dia dilanggar kereta.

“Mujurlah dalam kejadian itu anak tidak cedera parah, cuma bahunya cedera. Saya sendiri hendak keluar rumah berasa bimbang kerana kereta yang melalui jalan ini dipandu laju,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Oktober 2018 @ 6:58 PM