Jalan alternatif mengalami kesesakan luar biasa pada waktu puncak susulan penutupan jalan bermula Petronas Persiaran Raya Gua Musang sehingga ke bulatan Tanah Putih, malam semalam. FOTO Paya Linda Yahya
Jalan alternatif mengalami kesesakan luar biasa pada waktu puncak susulan penutupan jalan bermula Petronas Persiaran Raya Gua Musang sehingga ke bulatan Tanah Putih, malam semalam. FOTO Paya Linda Yahya
Paya Linda Yahya


Gua Musang: Laluan alternatif yang dicadangkan Jabatan Kerja Raya (JKR) susulan penutupan Jalan Gua Musang-Kuala Lipis sejak seminggu lalu tetap berlaku kesesakan luar biasa pada waktu puncak terutama pagi dan petang.

Tinjauan Harian Metro mendapati pengguna terpaksa meredah jalan yang sesak setiap pagi untuk menghantar anak ke sekolah dan sewaktu pulang kerja.

Keadaan ini membuatkan rata-rata pengguna berharap pihak berwajib dapat mengambil tindakan drastik bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas berkenaan.

Pengguna, Nurul Nazihah Mohamed, 37, berkata sejak jalan ditutup seminggu lalu, dia sudah keluar menghantar tiga anaknya ke sekolah seawal 6.30 pagi.

"Rutin harian saya berubah sejak seminggu lalu apabila perlu bersiap awal untuk menghantar anak ke sekolah bagi mengelakkan kesesakan.

"Sebelum ini saya keluar rumah 7 pagi untuk menghantar anak ke Sekolah Kebangsaan Sri Wangi 2 yang jaraknya hanya 10 kilometer.

"Keadaan ini memang memenatkan apabila terpaksa berhadapan dengan kesesakan lalu lintas terutama pada waktu pagi dan sewaktu anak-anak pulang Kelas al-Quran dan Fardu Ain (Kafa) pada waktu petang," katanya yang tinggal di Taman Wangi, di sini.

Penduduk Nur Syakila Sulaiman, 33, berkata sepanjang seminggu menggunakan laluan alternatif untuk ke tempat kerja di Bandar Utama Gua Musang, dia terpaksa keluar dari rumah di Tanah Putih seawal 7 pagi.

"Jalan alternatif ini mempunyai banyak cabang atau simpang sehingga mengundang kesesakan. Mungkin pada musim perayaan nanti dengan pertambahan kenderaan kesesakan akan menjadi lebih teruk.

"Kemalangan semalam juga membuatkan kami semakin takut dan lebih berhati-hati apabila menggunakan laluan alternatif ini. Saya harap kejadian itu tidak akan berulang, terutama membabitkan murid.

"Namun, kehadiran polis trafik yang menjaga jalan pada waktu puncak sangat membantu pengguna laluan ini," katanya.

Terdahulu media melaporkan Gua Musang akan mengalami kesesakan teruk menjelang kepulangan perantau pada Aidilfitri ini jika Jalan Persekutuan FT2747 di daerah ini ditutup.

Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Kelantan, Ir Mohd Suhaili Ismail dipetik berkata, penutupan jalan dari simpang hospital sehingga jambatan Taman Damar bertujuan memberi kelancaran trafik pada waktu berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 April 2023 @ 1:26 PM