PASUKAN penyelamat bersama penduduk kampung berusaha mencari Abd Farid yang dilaporkan hilang ketika menjala ikan dalam ladang kelapa sawit dekat Jalan Bypass ke Kota Tinggi, hari ini. FOTO ihsan bomba.
PASUKAN penyelamat bersama penduduk kampung berusaha mencari Abd Farid yang dilaporkan hilang ketika menjala ikan dalam ladang kelapa sawit dekat Jalan Bypass ke Kota Tinggi, hari ini. FOTO ihsan bomba.
Izlaily Nurul Ain Hussein


LELAKI dikhuatiri lemas ketika menjala ikan di sungai dalam ladang kelapa sawit dekat Jalan Bypass, Kota Tinggi, semalam.

Abd Farid Abdullah, 55, dilaporkan hilang di lokasi berkenaan menyebabkan pihaknya menghubungi pihak berkuasa.

Komander Operasi, Faiz Ramli, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 11.09 pagi sebelum enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Tinggi memulakan operasi mencari dan menyelamat (SAR) di lokasi itu.

Beliau berkata, pihaknya memulakan pencarian di lokasi tempat penemuan motosikal serta seluar dan selipar mangsa dipercayai berhampiran lokasi mangsa memasang jaring.

“Mangsa dikatakan keluar menjala ikan di Sungai Johor dalam ladang kelapa sawit itu, namun anak mangsa mendakwa dia tidak pulang ke rumah sehingga malam tadi.

“Mangsa yang tinggal di Kampung Makam, Kota Tinggi, pergi ke kawasan itu seorang diri menunggang motosikal dan kami menemui motosikal, seluar dan selipar mangsa dipercayai di tempat mangsa memasang jaring,” katanya.

Menurutnya, operasi SAR masih diteruskan dengan pencarian di permukaan dan turut operasi menyelam turut dijalankan oleh anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dari BBP Bandar Penawar.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Ahsmon Bajah, mengesahkan pihaknya menerima laporan polis pada 3.45 pagi hari ini.

“Keluarga menyedari mangsa hilang dan tidak balik ke rumah sebelum membuat laporan polis.

“Kami masih menyiasat dan usaha mengesan mangsa dijalankan oleh polis, bomba dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM),” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Oktober 2018 @ 6:36 PM