Mohamad Nizan meninggal dunia di tempat kejadian. FOTO ihsan bomba
Mohamad Nizan meninggal dunia di tempat kejadian. FOTO ihsan bomba
Izlaily Nurul Ain Hussein

Kulai: Penunggang motosikal maut, pemboncengnya parah apabila motosikal ditunggang terbabit dalam kemalangan dengan lori di Jalan Kulai - Kota Tinggi dekat Seelong, petang tadi.

Dalam kemalangan 2.45 petang itu, mangsa, Mohamad Nizan Yosop, 25, meninggal dunia di tempat kejadian, manakala pembonceng dihantar ke Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim di sini, untuk rawatan lanjut.

Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Razak Md Said berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila penunggang motosikal yang menghala ke arah Ulu Tebrau dari Kulai - Kota Tinggi, gagal mengawal motosikalnya ketika melalui selekoh tajam, lalu memasuki lorong kanan.

"Motosikal mangsa kemudian bertembung dengan lori muatan kelapa sawit yang datang dari arah bertentangan," katanya.

Beliau berkata, akibat kemalangan itu, penunggang motosikal yang berasal dari FELDA Pasir Raja di sini, parah di bahagian kepala dan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala pemboncengnya yang juga berasal dari FELDA yang sama parah di beberapa bahagian tubuh badannya.

Bagaimanapun, katanya, pemandu lori tidak cedera.

"Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Disember 2016 @ 9:08 PM