MOHD Halin Jabar (kiri) turut didakwa di Mahkamah Sesyen Ipoh atas pertuduhan memilki senjata api tanpa kebenaran. FOTO L Manimaran
MOHD Halin Jabar (kiri) turut didakwa di Mahkamah Sesyen Ipoh atas pertuduhan memilki senjata api tanpa kebenaran. FOTO L Manimaran
Shaarani Ismail


PENGAWAL keselamatan didakwa di Mahkamah Majistret Parit, hari ini kerana membunuh rakan sekerjanya hujung bulan lalu.

Mohd Halin Jabar, 52, dituduh melakukan kesalahan bunuh hingga mengakibatkan kematian Masri Pandak, 37, di pos pengawal Idaman Pharma Manufacturing Sdn Bhd, Lot 120 Taman Farmaseutikal di Seri Iskandar, dekat Parit, 7.55 malam, 31 Ogos lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Pendakwaan di hadapan Majistret Mohd Fitri Sadaruddin, namun tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada tertuduh.

Pihak pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Nur Farhana Hashim, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Majistret kemudian menetapkan 31 Oktober depan sebagai tarikh sebutan semula kes sementara menunggu laporan penuh bedah siasat mangsa.

Pagi tadi, tertuduh turut didakwa atas satu lagi pertuduhan di Mahkamah Sesyen Ipoh kerana memiliki senjata api tanpa kebenaran.

Dia didakwa mengikut mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan mengaku salah atas pertuduhan berkenaan.

NSTP sebelum ini melaporkan, suspek ditahan polis di Telok Bakong, Lambor Kanan, Bota pada 2 September lalu selepas dipercayai menembak mati rakan sekerjanya di Taman Farmasi, Seri Iskandar dua hari sebelum itu.

Mangsa yang juga Orang Asli, ditemui maut dengan kesan tembakan di dada kiri.

Selain menahannya, polis turut merampas pistol jenis Walther PPK, satu kelopak peluru mengandungi 49 peluru dan satu balutan plastik mengandungi peluru.

Polis turut merampas pistol tiruan berwarna kelabu jenama Pietro Baretta Garoone VT buatan Itali, satu kelopak peluru kosong, sarung pistol berwarna hitam dan dua kotak plastik lutsinar masing-masing berisi 100 bebola besi dalam serbuan sehari sebelum suspek ditahan.

Berita berkaitan:

Mengaku miliki senjata api tanpa kebenaran

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 September 2018 @ 2:31 PM