Balqis Jazimah Zahari


Ipoh: Seorang lelaki dihadapkan ke mahkamah hari ini atas lima pertuduhan memiliki senjata berbahaya, peluru hidup dan buku mengandungi unsur ideologi komunis.

Di Mahkamah Majistret Ipoh di sini, Leong Yew Chen, 35, berdepan tiga pertuduhan memiliki senjata api tiruan, gari dan baju kalis peluru serta memiliki buku larangan berunsur ideologi komunis.

Dia bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Kantonis di hadapan Majistret Noor Azreen Liana Mohd Darus.

Mengikut kertas pertuduhan, Yew Chen didakwa memiliki lapan laras senapang tiruan dan empat pucuk pistol tiruan.

Pertuduhan berikutnya, dia didakwa memiliki satu pasang gari dan tiga helai baju kalis peluru tanpa kebenaran yang sah. Manakala pertuduhan ketiga dia didakwa memiliki buku cetakan hasil penerbitan larangan yang berunsurkan ideologi komunis.

Oleh yang demikian, tertuduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 36 Akta Senjata 1960 yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi setahun, atau dikenakan denda tidak melebihi RM5,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Selain itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 89 Akta Polis 1967 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM500, atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Berikutnya, tertuduh turut didakwa mengikut Seksyen 7 (1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 yang boleh didenda tidak melebihi RM5,000, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, tertuduh turut mengaku tidak bersalah ketika didakwa di Mahkamah Sesyen atas dua pertuduhan membawa dan memiliki senjata besi buku lima serta memiliki peluru hidup tanpa lesen sah di hadapan Hakim Norashima Khalid.

Seorang lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret dan Sesyen Ipoh hari ini atas lima pertuduhan memiliki senjata dan buku larangan berunsur ideologi komunis. FOTO BALQIS JAZIMAH ZAHARI
Seorang lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret dan Sesyen Ipoh hari ini atas lima pertuduhan memiliki senjata dan buku larangan berunsur ideologi komunis. FOTO BALQIS JAZIMAH ZAHARI

Mengikut pertuduhan, didakwa membawa dan memiliki senjata yang dijadualkan iaitu dua buah besi buku lima.

Manakala satu lagi pertuduhan, tertuduh didakwa memiliki dua butir peluru hidup tanpa lesen senjata yang sah.

Berikutan itu, Yew Chen didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 7 (1) Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Api 1958 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih sepuluh tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

Selain itu turut didakwa mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan disebat tidak kurang daripada enam kali, jika sabit kesalahan.

Bagi kesemua pertuduhan itu, Yew Chen didakwa melakukan kesalahan pada masa, lokasi dan tarikh yang sama di Jalan Margosa, Pasir Puteh pada jam 1.45 petang, 10 Disember lalu.

Pendakwaan bagi kesemua pertuduhan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Sufi Aiman Azmi, Nor Syahirah Azahar dan Fatimah Hannah Abd Wahab manakala tertuduh diwakili peguam bela, Amrick Singh Sandu.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 21 Januari hadapan sebagai tarikh sebutan semula kes sementara menunggu laporan psikiatri Hospital Bahagia Ulu Kinta berikutan tertuduh memiliki sejarah kesihatan mental.

Selain itu, mahkamah turut tidak membenarkan jaminan ke atas tertuduh.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Disember 2021 @ 3:37 PM