ANGGOTA bomba mengangkat mayat mangsa yang rentung dalam kemalangan di Jalan Samalaju, Bintulu, hari ini. FOTO Ihsan JBPM
ANGGOTA bomba mengangkat mayat mangsa yang rentung dalam kemalangan di Jalan Samalaju, Bintulu, hari ini. FOTO Ihsan JBPM
Erika George


SEORANG lelaki ditemui rentung selepas pacuan empat roda yang dipandunya terbabas sebelum merempuh pembahagi jalan di Jalan Samalaju, Bintulu, hari ini.

Kejadian berlaku pada jam 11.50 pagi itu menyebabkan mangsa dikenali sebagai Ah Heng maut di lokasi kejadian selepas tersepit di tempat duduk pemandu manakala lelaki berusia 42 tahun yang juga penumpang kenderaan itu mengalami cedera ringan.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) Bintulu berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 12.06 tengah hari sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintulu dan BBP Samalaju dikejarkan ke lokasi.

Menurutnya, sebaik tiba api marak membakar Toyota Hilux berkenaan sebelum pasukan bomba bergegas memadamkan kebakaran.

ANGGOTA bomba berusaha memadam kebakaran sebuah pacuan empat roda yang terbabit dalam kemalangan. FOTO Ihsan JBPM
ANGGOTA bomba berusaha memadam kebakaran sebuah pacuan empat roda yang terbabit dalam kemalangan. FOTO Ihsan JBPM

“Sebaik api berjaya dipadamkan, pasukan bomba kemudian membuat pemeriksaan lanjut sebelum menemui mangsa tersepit di tempat duduk pemandu.

“Anggota bomba kemudian mengambil masa beberapa minit untuk mengeluarkan mangsa sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Katanya, anggota bomba tidak menemui sebarang dokumen pengenalan diri pada mangsa, dan mayat dihantar ke Hospital Bintulu untuk bedah siasat.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 September 2018 @ 4:06 PM