Alif Amal Azahari


TIGA maut, termasuk dua murid manakala seorang lagi kritikal selepas bas sekolah dinaiki merempuh lori di Kilometer 12, Jalan Pesisir Bintulu-Miri berhampiran Ladang Sebubu, Samalaju, hari ini.

Dalam kejadian 6.12 pagi itu, bas sekolah berkenaan dalam perjalanan menghantar murid ke Sekolah Kebangsaan (SK) Kidurong II, Bintulu sebelum merempuh bahagian belakang lori yang membawa muatan besi paip.

Pemandu bas, Ramnelan Samat, 55, meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala dua lagi murid meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Bintulu.

Murid yang meninggal dunia adalah Aien Laila Alesha Abdullah, 11; dan Nurnadia Syakila, 9; manakala Jaf Naufal Aliuna Jaffery, 10, masih menerima rawatan kecemasan di hospital berkenaan.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Superintendan Alexson Naga Chabu berkata, bas sekolah berkenaan dalam perjalanan menghantar 22 murid ke sekolah berkenaan.

ANGGOTA bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit. FOTO ihsan Bomba
ANGGOTA bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit. FOTO ihsan Bomba

“Bas berkenaan merempuh bahagian belakang lori di lokasi kejadian menyebabkan bahagian depan bas remuk.

“Siasatan awal mendapati, pemandu lori mendakwa kenderaannya rosak dan diletakkan di bahu jalan,” katanya ketika dihubungi.

Katanya, kejadian turut menyebabkan enam lagi murid sekolah terbabit cedera manakala 14 lagi terselamat termasuk kelindan bas.

“Punca kemalangan masih dalam siasatan dan kes sedang disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 January 2018 @ 3:30 PM