ANGGOTA bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit. FOTO ihsan bomba
ANGGOTA bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit. FOTO ihsan bomba
Erika George


Samalaju: Pekerja di sebuah kilang di Taman Perindustrian Samalaju (TPS), di sini, pengsan selepas badannya tersepit dalam mesin 'conveyor' semasa sedang menjalankan kerja, awal pagi tadi.

Dalam kejadian jam 3.30 pagi itu, mangsa, Nicklas Benet Bugak, 24, sedang bekerja sebelum badannya tersepit dalam mesin.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, seramai lima anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Samalaju diketuai Pegawai Bomba Kanan 2, Alan Ayuh bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan pada jam 3.45 pagi.

Menurutnya, anggota menggunakan peralatan khas bagi merenggang komponen mesin bagi mengeluarkan mangsa.

"Anggota mengambil masa setengah jam bagi mengeluarkan mangsa sebelum menyerahkan dia kepada pihak keselamatan kilang," katanya.

Menurutnya, mangsa yang mengalami kecederaan parah dihantar ke Hospital Bintulu bagi mendapatkan rawatan lanjut.

"Siasatan akan dijalankan bagi mengetahui punca yang menyebabkan berlakunya insiden ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Februari 2021 @ 4:22 PM