Ruwaida Md Zain


Shah Alam: Dua individu maut dipercayai dilanggar sebuah pacuan empat roda yang dipandu secara melawan arus di Kilometer 8.5 Lebuhraya Persekutuan, dekat sini, hari ini .

Pengarah Bomba Selangor, Norazam Khamis berkata, pihaknya dihubungi pada 1.51 pagi dan tiba di lokasi kejadian pada 1.58 pagi.

"Setiba di lokasi, bomba mendapati kemalangan membabitkan Mitsubishi Triton dipandu seorang lelaki secara melawan arus bertembung dengan sebuah Proton Wira Aeroback.

"Akibat perlanggaran itu, dua mangsa yang menaiki Proton Wira Aeroback, seorang perempuan yang juga pemandu bersama seorang penumpang lelaki di bahagian hadapan, tersepit.

"Bomba mengambil masa selama setengah untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit.

"Kedua-dua mangsa yang parah disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia," katanya ketika dihubungi, hari ini

KERETA terbabit kemalangan itu. FOTO Ihsan Bomba
KERETA terbabit kemalangan itu. FOTO Ihsan Bomba

Norazam berkata, mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.

"Berdasarkan maklumat, mangsa maut, Nur Afiqah Abdul Karim, 18, dan Muhammad Hafiz Syamir Dzul Asri, 19, masing-masing beralamat di Klang dan Pelabuhan Klang.

"Pemandu pacuan empat roda yang berusia 24 tahun tidak mengalami secara kecederaan," katanya.

Beliau berkata, operasi menyelamat dijalankan oleh lapan anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Shah Alam diketuai Kamarul Zaman Abd Rani.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 September 2021 @ 9:06 AM